KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO Sabah menegaskan tiada lagi ruang untuk kerjasama politik dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bagi menghadapi PRN17.
Ketua UMNO Kota Kinabalu, Musliati Moslimin, berkata keputusan itu dibuat kerana UMNO bukan parti pelengkap yang boleh digunakan sebagai alat politik dan diperdaya dengan janji palsu.
Jelasnya, sejarah kerjasama UMNO dengan GRS pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) September 2020 memperlihatkan pengkhianatan terhadap parti itu selepas menyumbang kemenangan dan pembentukan kerajaan baharu negeri.
“Sejarah telah mencatat dan rakyat sedang menilai. Biarlah kali ini, kita tidak lagi tunduk atas nama setiakawan palsu kerana yang kita perjuangkan bukan tokoh, bukan parti tetapi maruah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
EXCO Wanita UMNO itu mengimbau sejarah yang didakwanya sebagai pengkhianatan terhadap parti itu berlaku sejak hari pertama kerajaan negeri dibentuk selepas PRN16 pada September 2020.
Katanya, ketika itu Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dijanjikan portfolio Menteri Kerja Raya dalam Kabinet negeri yang diketuai Datuk Seri Hajiji Noor, selaku Ketua Menteri, namun ditukar secara sepihak kepada protfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan tanpa sebarang alasan yang rasional.
Beliau berkata, portfolio itu hanya dikembalikan selepas tekanan dibuat terhadap Ketua Menteri, namun kekecewaan UMNO berterusan apabila parti itu tidak diberikan satu lagi portfolio yang turut dijanjikan kepada UMNO.
Sebaliknya beliau berkata, portfolio itu diberikan kepada pemimpin GRS, Datuk Seri Masidi Manjun yang sudah diberikan portfolio lain menjadikan dua portfolio dipegang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan itu.
“Lebih menyakitkan, Datuk Seri Masidi Manjun pula diberikan dua portfolio utama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Menteri Kewangan Kedua walaupun perjanjian awal menyatakan salah satu daripadanya adalah milik UMNO-BN.
“Dalam setiap mesyuarat, setiap pertemuan, Datuk Seri Hajiji berulang kali menyebut soal ‘rombakan akan datang’. Katanya, portfolio Kewangan Kedua akan dikembalikan kepada UMNO dan kata-kata manis itu berulang seperti syair lama, diulang-ulang hingga kami mula bertanya adakah ini pentadbiran atau sandiwara?
,” katanya.
Beliau mendakwa janji itu turut digunakan ketika PRU15 pada November 2022, sebagai umpan politik untuk memancing undi UMNO-BN di Sipitang, Papar, Ranau dan lain-lain kawasan, namun dilupakan selepas pilihan raya.
Lebih parah, katanya ADUN Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang menggesa janji itu ditunaikan, disingkirkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah.
“Di sinilah kita belajar bahawa dalam pentadbiran ini, kebenaran tidak menyelamatkan sebaliknya dihukum,” katanya
Beliau berkata, Datuk Seri Hajiji Noor, walaupun berperwatakan sederhana dan jarang meninggi suara, tetap tunduk kepada kuasa yang meletakkannya di kerusi Ketua Menteri.
“Beliau mungkin tidak menikam, tetapi diam beliau membenarkan orang lain berbuat demikian.
“UMNO-BN telah bersabar, telah memberi peluang, telah memilih muafakat berbanding pertikaian. Tetapi kesabaran bukan lesen untuk terus dimanipulasi.
“Maruah bukan untuk ditawar beli dan prinsip perjuangan tidak akan ditukar dengan janji palsu.
“Oleh yang demikian, UMNO Sabah menegaskan tidak ada lagi ruang untuk kerjasama politik dengan GRS atau PGRS,” katanya. – Info X