Search

PRN17: Tiada rundingan sulit Warisan-UMNO – Loretto

September 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Warisan menafikan wujud sebarang rundingan sulit dengan UMNO mengenai kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Setiausaha Agungnya, Datuk Loretto Padua, berkata Warisan sebelum ini sudah menjelaskan pendirian parti itu tidak bekerjasama dengan mana-mana parti lain.

Katanya, keputusan itu dibuat sebulat suara Majlis Tertinggi Warisan berdasarkan kehendak rakyat Sabah yang mahukan sebuah parti tempatan untuk menyatukan mereka.

“Kami menafikan kandungan dalam kenyataan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai keterbukaan parti itu untuk bekerjasama dengan Warisan sebagai sebahagian persiapan UMNO untuk PRN akan datang.

“Seperti disebut presiden kami, Majlis Tertinggi Warisan mencapai resolusi bahawa Warisan akan bergabung dan bekerja dengan rakyat Sabah, tiada mesyuarat rahsia sama sekali seperti yang didakwa.

“Aspirasi rakyat Sabah, mereka mahukan kali ini Sabahan bersatu di bawah satu parti tempatan.

“Keputusan Majlis Tertinggi dibuat selepas mengambil kira suara rakyat akar umbi menerusi program outreach yang kita laksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Loretto berkata, Warisan percaya memahami aspirasi dan harapan rakyat Sabah serta bergabung dengan mereka berbanding bergabung dengan parti politik bagi mendapatkan kuasa adalah jauh lebih penting.

“Kita jangan lupa, tumpuan utama Warisan untuk pilihan raya kali ini adalah kebajikan dan masa depan rakyat Sabah, bukan masa depan mana-mana parti atau gabungan politik,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), sebelum ini dilaporkan sebagai berkata bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Warisan.

Beliau dilaporkan berkata, BN terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, kecuali dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – Info X