KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) tidak pernah menjemput Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk kembali bekerjasama dengannya pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Sehubungan itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tiada keperluan untuk PBS menolak BN kerana BN tidak pernah menjemput parti itu untuk bekerjasama.
“Saya rasa lucu membaca kenyataan pemangku Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang mendakwa bahawa PBS menolak kerjasama dengan BN pada PRN17 nanti.
“Biar saya jelaskan, BN Sabah tidak pernah pada bila-bila masa memanjangkan jemputan kepada PBS untuk kembali bekerjasama.
“Oleh itu, soalan yang timbul, apa sebenarnya yang kamu tolak, Datuk Joachim? Ini menunjukkan satu lagi kes khayalan politik yang mana seseorang membayangkan percakapan dan rundingan yang tidak pernah berlaku.
“Kamu tidak boleh menolak cadangan yang tidak pernah dibuat. Tolonglah, jangan minta puji,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Ketua UMNO Sabah itu mengulas kenyataan Dr Joachim sebelum ini yang menyatakan pendirian PBS terus kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menolak kerjasama dengan BN.
Bung Moktar berkata, PBS dulu pernah disanjung sebagai pembela hak Sabah tetapi hari ini hanyalah bayangan yang semakin pudar dari dirinya sendiri.
Katanya, identiti politik PBS kian pudar ditelan masa disebabkan sikap tidak konsistennya melompat gabungan, menukar kesetiaan dan mengkhianati rakan kongsi apabila tiba masa sesuai.
“Sekarang, dalam usaha untuk kekal relevan, PBS cuba untuk menunjukkan dirinya sebagai pemain utama dipujuk oleh BN.
“Realitinya, PBS menjadi tidak signifikan, ia bukan lagi ketua dalam politik Sabah, sebaliknya hanya penumpang yang berpaut pada pihak lain dalam kerajaan GRS,” katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata BN Sabah tidak terhegeh-hegeh membentuk pakatan dengan parti yang tiada hala tuju atau kredibiliti.
Beliau berkata, PBS yang memilih meninggalkan BN pada masa lalu atas kepentingannya dan perkara itu sudahpun berlalu.
“Kita bukan dalam urusan untuk menghidupkan semula peninggalan politik yang sudah lapuk atau memulihkan siapa yang mengkhianati kepercayaan kita.
“BN Sabah memfokuskan usaha membina semula negeri dengan ikhlas dan rakan berprinsip, bukan dengan parti yang hidup atas nostalgia dan putar belit.
“Tolong hentikan politik yang keterlaluan. Kepada Datuk Joachim dan PBS, tolonglah cukuplah dengan sandiwara, sekarang bukan 1990-an.
“Pengundi sekarang bermaklumat dan bijak. Tiada keperluan untuk mereka cerita menolak BN sedangkan tiada tawaran seumpama itu dibuat,” katanya.
Bung Moktar menegaskan BN Sabah tidak pernah menjemput PBS semula dan atas sebah itu tiada apa yang mahu ditolak.
“Mari kita bergerak ke hadapan secara matang dan meninggalkan halusinasi politik yang menjadi milik imaginasi kamu,” katanya. – Info X