KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyifatkan UMNO-BN hanya berangan-angan apabila mengumumkan bertanding di 40 kerusi berdasarkan kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir mengenai agihan kerusi BN-PH.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar, berkata beliau tidak nampak UMNO Sabah sudah kembali bangkit terutama selepas kegagalan cubaannya bersama Parti Warisan untuk menjatuhkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 2023.
Jelasnya, kenyataan Suhaimi mengenai jumlah kerusi itu untuk menunjukkan bahawa UMNO-BN mampu memerintah semula Sabah tidak mengambil kira situasi sebenar di negeri ini.
“Tidak salah untuk menyimpan angan-angan tetapi seseorang itu akhirnya perlu berpijak di bumi nyata.
“Terjemahan perkataan di atas sebenarnya sesuai untuk menggambarkan kenyataan terkini Suhaimi kononnya UMNO-BN mampu memerintah Sabah semula pada PRN17 akan datang.
“Suhaimi turut mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO-BN akan bertanding di 40 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tapi tidak dapat dipastikan sama ada keputusan bertanding 40 kerusi itu dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau mengulas kenyataan Suhaimi mengenai agihan 40 kerusi bakal ditandingi BN, manakala baki 33 kerusi lagi diserah kepada PH pada PRN17 nanti.
Zulkarnain berkata, sebagai seorang bekas ketua aktivis politik barisan hadapan UMNO, beliau mengingatkan agar pemimpin parti itu kerap turun ke lapangan bagi mendapatkan reaksi rakyat bawahan terhadap sokongan mereka kepada UMNO-BN di Sabah ketika ini.
“Pada PRN16 lalu, UMNO-BN bertanding di 31 kerusi DUN dan menang hanya 14 kerusi.
“Sehingga hari ini saya masih tidak nampak UMNO Sabah akan bangkit semula terutamanya selepas cubaan kudeta bersama Parti Warisan untuk menumbangkan Hajiji menemui kegagalan pada 2023,” katanya.
Sementara itu, Zulkarnain berkata cadangan UMNO meletakkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai ‘Poster Boy’ pada PRN17 nanti, bakal mempercepatkan lagi proses kejatuhan parti itu.
“Sikap kasar Bung Moktar juga salah satu penyebab rakyat semakin membenci UMNO.
“Sebagai rakyat Sabah saya juga tidak berani meletakkan masa depan negeri Sabah di tangan pemimpin seperti Bung Moktar,” katanya. – Info X