KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dijangka mengumumkan sesuatu yang ‘besar’ pada Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Ahad ini.
Ia berkaitan hala tuju parti yang diketuainya itu menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
“Ya, tunggu saja ucapan saya pada Ahad nanti,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Seminar Penerangan Gagasan Rakyat sempena Perhimpunan Agung Tahunan parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Jumaat.
Hajiji ditanya mengenai kemungkinan sebarang usul besar berkaitan hala tuju Gagasan Rakyat menjelang PRN17 yang akan diputuskan pada persidangan itu nanti.
Presiden Gagasan Rakyat itu sebelum ini berdiam diri berhubung kehendak penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mahu agar gabungan itu bertanding solo pada PRN17.

Rakan kerjasama Gagasan Rakyat dalam GRS yang dipengerusikan Hajiji kebanyakannya mahu GRS bertanding solo, namun Hajiji masih menyebut mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Malah, PBS dan STAR yang menjadi rakan kerjasama penting Gagasan Rakyat sepakat agar GRS bertanding solo berdasarkan kehendak penyokong mereka yang disuarakan pada konvensyen bersama kedua-dua parti itu baru-baru ini.
Mengenai seminar hari ini, Hajiji berkata ia adalah perjumpaan ketua penerangan Gagasan Rakyat dari semua bahagian dan peringkat parti itu.
“Hari ini kita mulakan persidangan dengan berjumpa ketua-ketua penerangan parti daripada setiap bahagian dan semua peringkat.
“Kita gerakkan jentera bagi penjelasan perjuangan parti apa yang telah dilakukan dan dilaksanakan oleh kerajaan pada hari ini. Itu mesti diterangkan kepada rakyat,” katanya.
Katanya, seminar itu bagi memastikan pemimpin Gagasan Rakyat di semua bahagian dan peringkat menggiatkan jentera bagi menghadapi PRN17.
Seminar itu turut dihadiri Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun; Naib Presiden, Datuk Mohd Arifin Arif dan Datuk Masiung Banah serta Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Kira-kira 400 Ketua Penerangan dan ahli jawatankuasa parti dari 74 bahagian, termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat menghadiri seminar itu. – Info X