Search

PRN17: Tunggu bubar DUN baru bincang kerjasama – PH Sabah

April 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah setakat ini belum membuat sebarang ketetapan untuk bekerjasama atau bergabung dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Pengerusinya, Datuk Christina Liew, berkata perkara itu hanya diputuskan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan, kemungkinan besar sehingga habis penggal DUN sekarang.

“Kita tunggu apabila kerajaan membubarkan DUN kerana apa yang saya dengar, kerajaan sekarang akan kekal sehingga tamat penggal DUN iaitu pada Oktober tahun depan.

“Sekarang, kita (PH Sabah) bekerja keras untuk melaksanakan kerja kita sebagai sebahagian daripada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bersama kakitangan dan media, di sini, kelmarin.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, berkata demikian ketika ditanya sama ada PH mahu bekerjasama dengan Gabungan Rakyat (GRS) atau Barisan Nasional (BN) pada PRN17 nanti.

Ketika ini, PH Sabah adalah sebahagian daripada kerajaan negeri bersama GRS atau dikenali sebagai kerajaan GRS – PH Plus selepas beberapa pemimpin PH negeri dibawa masuk ke dalam jemaah Kabinet negeri pada awal tahun lalu.

PH menggantikan BN, khususnya UMNO yang bertindak menarik diri daripada kerjasama dengan GRS selepas hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Selain PKR, DAP dan AMANAH, PH Sabah turut dianggotai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO). – Info X