Search

PRN17: UMNO Lahad Datu mahu rampas 4 kerusi DUN

March 19, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: UMNO Lahad Datu mahu bertanding di semua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bahagian itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua bahagiannya, Sharif Musa Sharif Mabul, berkata empat kerusi terbabit iaitu Kunak, Silam, Segama dan Tungku adalah bekas kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau yakin keempat-empat kerusi itu yang dimenangi calon Parti Warisan pada PRN16 lalu mampu dirampas semula jika UMNO bertanding.

“InsyaAllah, memang dari awal UMNO Lahad Datu berpegang kepada visi dan misi yang kita lancarkan dan kita tiada kompromi empat kerusi iaitu Kunak, Tungku, Segama dan Silam akan ditandingi semua.

“Walaupun kemungkinan ada gabungan dengan parti lain, tapi kita konsisten untuk merampas semula empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu atas tiket BN,” katanya.

Beliau ditemui selepas Program Perdana Berbuka Puasa dan penyampaian sumbangan kepada sekolah tahfiz dan asnaf, di sini, pada Selasa.

Majlis itu turut dihadiri Bendahari UMNO Sabah yang juga bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Keruak.

Ketika ini, dua kerusi di bahagian Lahad Datu, iaitu Silam dan Tungku kekal disandang Warisan, manakala Kunak beralih ke Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas wakil rakyatnya keluar Warisan pada 2023.

Hanya kerusi DUN Segama kini diwakili UMNO selepas wakil rakyatnya, Datuk Mohamadin Ketapi keluar Warisan dan melompat ke beberapa parti sebelum akhirnya menyertai UMNO sejak 2023. – Info X