Search

PRN17: UMNO Sabah belum fikir soal kerjasama, kata Bung Moktar

October 21, 2024

Info X Reporters

PAPAR: UMNO Sabah belum memikirkan soal kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang dijangka tidak lama lagi.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata perkara itu bukan keutamaan UMNO Sabah kerana yang penting ketika ini ialah untuk mengukuhkan kedudukan parti terlebih dahulu.

Katanya, buat masa ini ahli dan pemimpin parti tidak perlu memikirkan dengan siapa UMNO bekerjasama, sebaliknya semua mereka perlu sama-sama memantapkan parti terlebih dahulu.

“Tiada gunanya kita memikirkan soal kerjasama dengan parti lain jika jentera parti kita lemah dan tidak terurus.

“Apa yang penting ketika ini ialah fokus kepada persiapan jentera parti. Jika kita kuat pihak lain akan menghormati kita, bahkan mahu bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan program pemukiman UMNO Bahagian Papar, di sini, semalam.

Bung Moktar (tengah) bersama pemimpin UMNO Sabah pada program pemukiman UMNO Papar.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, berkata jentera UMNO di semua peringkat perlu kukuh sebelum ketibaan PRN17 yang dijangka tidak lama lagi.

Jelasnya, sebarang kelemahan dan kekurangan parti perlu diperbaiki segera dan jika gagal ia dibimbangi boleh mengundang kekalahan calon mewakili UMNO nanti.

Sementara itu, Bung Moktar mengulangi pendirian UMNO Sabah hanya menerima kerjasama dengan parti atau gabungan lain yang menghormati perjanjian apabila ia sudah bersedia ke arah itu.

Katanya, UMNO Sabah banyak belajar daripada kegagalan kerjasama dengan gabungan sebelum ini yang dilihat merugikan parti itu.

“Perkara itu turut mematangkan UMNO Sabah. Kita mahu sebarang keputusan untuk bergabung dengan parti lain tidak akan merugikan UMNO.

“Tapi, apa yang penting ialah UMNO Sabah perlu diperkuatkan terlebih dahulu,” katanya.

Ends

Pix – Bung Moktar (tengah) bersama pemimpin UMNO Sabah pada program pemukiman UMNO Papar.