KOTA KINABALU: UMNO Sabah yakin gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan menjadi kenyataan.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata perkara itu selaras dengan kenyataan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kerjasama BN-PH.
Katanya, kerjasama itu adalah sesuatu baik dan wajar untuk mengukuhkan lagi hubungan dua parti utama yang membentuk kerajaan di peringkat Pusat ketika ini.
“Saya yakin kerjasama BN Sabah dan PH Sabah mampu membawa keputusan yang positif pada PRN17 nanti, seterusnya mewujudkan kestabilan politik di peringkat pusat dan negeri.
“Kita juga terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain di Sabah tetapi tunjang utamanya perlu pada kerjasama BN Sabah dan PH Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Ahmad Zahid menyatakan persetujuan UMNO secara prinsip untuk UMNO dan BN Sabah menjalin kerjasama bagi membentuk pakatan dalam menghadapi PRN akan datang.
Katanya, UMNO dan BN juga mengalu-alukan mana-mana parti lain yang mahu menyertai kerjasama itu.
Sementara itu, Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran, berkata setakat ini tidak timbul apa-apa masalah di antara BN dan PH di peringkat pusat atau di peringkat negeri.
“Saya juga yakin kepimpinan BN Sabah dan PH Sabah akan duduk bersama bagi membincangkan mekanisme dan acuan terbaik bagi mendepani PRN Sabah nanti,” katanya. – Info X