KOTA KINABALU: UMNO Sabah sedia berdepan dengan dua penyandang kerusi DUN yang digantung keahlian dari parti itu jika mereka bertanding pada PRN17.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin mencabar penyandang DUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan penyandang DUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy itu supaya tampil pada pilihan raya nanti.
“Kalau betul mahu bertanding, pucuk dicita ulam mendatang. Sudah tiba masanya Shahelmey Yahya dan Andi Suryady menunjukkan keberanian sebenar bukan bersembunyi di sebalik kuasa yang diperoleh hasil pengkhianatan terhadap perjuangan Barisan Nasional (BN).
“Mari kita lihat sejauh mana kamu berdua benar-benar kuat tanpa bendera BN. Buktikan bahawa kemenangan kamu dalam PRN16 dan PRU15 bukan kerana jentera, pengundi dan pengaruh BN, tetapi kerana diri kamu sendiri.
“Jangan lagi berselindung di sebalik jasa parti yang kamu tikam dari belakang,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata rakyat Sabah kini semakin celik politik dan tahu menilai siapa yang setia dan siapa yang menjual prinsip demi jawatan dan kuasa.
Katanya, dua pemimpin itu menjadi simbol politik tanpa pendirian dan sanggup menikam sahabat sendiri demi kepentingan sementara.
“UMNO dan BN tidak lupa. Kami telah bersedia sepenuhnya untuk berdepan kamu dalam PRN17, bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk menghapuskan legasi pengkhianatan yang memalukan politik Sabah.
“Kami yakin penyokong BN kini lebih bersemangat daripada sebelumnya dan bersatu untuk menjatuhkan dua watak yang tidak mengenal makna kesetiaan, maruah dan perjuangan.
“Dalam politik, pengkhianatan mungkin memberi kuasa sementara, tetapi pengkhianat tidak akan pernah dihormati sejarah,” katanya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya pengundi di DUN Tanjung Keramat dan Tanjung Batu bersatu padu memastikan kedua-dua calon itu diberi pengajaran.
“Kamu yang pernah menaikkan mereka, kamu jugalah yang berhak menjatuhkan dua pemimpin yang mengkhianati amanah rakyat dan perjuangan BN,” katanya.
Pada Sabtu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan kesediaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mencalonkan Shahelmey dan Andi di kerusi yang disandang mereka. – Info X