Search

PRN17: UPKO intai kerusi baharu, kekal tanding di Kadamaian

May 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UPKO menyatakan pendirian untuk terus mempertahankan kerusi DUN Kadamaian, selain mahu menambah beberapa lagi kerusi lain pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata sebagai komponen PH, UPKO sudah pasti mengambil bahagian dalam pilihan raya itu dengan wawasan untuk memenangi lebih banyak kerusi.

“Tahun ini bakal menyaksikan pembubaran DUN Sabah bagi penggal ini, maka UPKO sebagai parti komponen PH Sabah sudah tentu akan mengambil bahagian dengan wawasan untuk menang kerusi tambahan selain mempertahan kerusi DUN Kadamaian.

“Sementara perundingan dalaman PH Sabah dan perbincangan tidak rasmi dengan gabungan lain terus berlangsung, UPKO mesti bersiap siaga menjadi pemain pasukan rakyat Sabah.

“Keputusan kita mesti berlandaskan kepada tujuan dan matlamat penubuhan parti, berpandukan kepada akal budi dan rasional yang strategik dengan memberi fokus kepada masa depan Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun UPKO Ke-31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Jumaat.

Ewon menyampaikan amanat pada majlis ulang tahun ke-31 UPKO.

Kerusi DUN Kadamaian yang disandang Ewon adalah satu-satunya kerusi DUN dimenangi parti itu pada PRN16, September 2020.

Sementara itu, Ewon berkata pilihan raya kali ini harus menjadi pengukur kepada perpaduan rakyat Sabah dan pimpinan parti politik yang ada di negeri ini.

“Pilihan raya kali ini bukan persaingan mengenai siapa yang boleh berteriak dengan lebih kuat, bukan persaingan emosi yang sensasi, bukan persaingan kelemahan siapa yang paling banyak.

“Dalam pertembungan hubungan perdagangan antarabangsa dan geopolitik, rakyat Sabah mesti bijak menilai kepentingan perpaduan.

“Sebab itu UPKO, sepertimana dalam matlamat penubuhannya, harus bekerjasama dengan parti yang berkongsi wawasan dan aspirasi yang sama, tidak hanya dengan parti-parti Sabah tetapi juga dengan parti-parti nasional,” katanya.

Ewon berkata, melalui perundingan mengenai PRN17 yang akan diadakan nanti, UPKO akan menyatakan pandangan dan pendirian serta menjadi advokasi kepada perpaduan.

“Pada 1963, Sabah memutuskan untuk menganggotai Persekutuan Malaysia, maka mari kita perbaiki dan bina negara ini bersama-sama! Perwakilan pimpinan Sabah mesti terus menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan sepertimana aspirasi MA63.

“Untuk kita perbaiki dan bina negara ini, kita juga harus perbaiki dan bina terlebih dahulu ‘sense of belonging’ (perasaaan memiliki) rakyat Sabah terhadap Kerajaan Sabah sendiri.

“Perkara-perkara yang menjadi keprihatinan terkait ‘sense of belonging’ rakyat majmuk Sabah seperti komposisi dalam perjawatan perkhidmatan awam negeri, pelantikan di agensi dan badan berkanun, pemberian biasiswa, kualiti jentera penyampaian Kerajaan Sabah, hubungan antara agama dan perundangan negeri mesti diperkasa dan diperkemaskan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata, semua itu memerlukan kesatuan dan perpaduan politik setiap parti yang ada di Sabah.

Katanya, tindakan bersifat konfrontasi tidak akan menguntungkan Sabah dan tidak membantu masa depan negeri ini. – Info X