KOTA KINABALU: Parti Warisan menyifatkan dakwaan bekas pemimpinnya yang mengatakan parti itu bukan lagi parti tempatan setelah melebarkan sayap ke Semenanjung sebagi putar belit politik.
Bendahari Agung Warisan, Azhar Matussin, yang membidas dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif, menegaskan Warisan kekal sebagai parti Sabah pada terasnya.
“Langkah untuk ke Semenanjung dibuat untuk memastikan suara Sabah didengari di Parlimen dan dalam keputusan-keputusan nasional.
“Strategi ini penting agar orang lain di Putrajaya tidak membuat keputusan bagi pihak rakyat Sabah. Ini adalah strategi, bukan pengkhianatan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Memetik laporan sebuah portal baru-baru ini, Norazlinah mendakwa tindakan Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung pada 2021 menggambarkan cita-cita besar pemimpin parti itu, termasuk ingin menjadi Perdana Menteri.
Norazlinah meninggalkan Warisan pada Februari 2023, iaitu selepas kegagalan Langkah Kinabalu yang menyaksikan cubaan UMNO bersama Warisan untuk menjatuhkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi gagal.
Penyandang kerusi DUN Kunak sejak 2018 itu kini menjadi sebahagian daripada GRS selepas menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sejak tahun lalu.
Azhar yang juga ADUN Darau berkata, serangan Norazlinah terhadap WARISAN kelihatan seperti satu usaha untuk memikat hati ketua baharunya, berbanding perjuangan untuk rakyat.
Beliau juga mempersoalkan kredibiliti Norazlinah, dengan merujuk kepada rekod lompat partinya yang didakwanya tercalar bukan saja di mata pengundi, malah di dalam GRS sendiri.
“Beliau bercakap mengenai pengkhianatan tetapi lupa bahawa beliau telah meninggalkan parti yang memberikannya kemenangan di kerusi Kunak.
“Tindakan beliau melompat parti bukan kerana prinsip, tetapi selepas rancangan BN-Bersatu gagal. Kemudian, beliau menyertai pihak yang pernah cuba digulingkannya,” katanya.
Sementara itu, Azhar menolak dakwaan Norazlinah Arif mengenai pembabitan Warisan dalam ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023 yang didakwanya tidak selari dengan fakta.
Beliau menjelaskan pada Januari 2023, GRS sudah menerajui kerajaan negeri dan Hajiji masih menjadi ahli Bersatu Sabah, yang menjadi sebahagian daripada komponen GRS.
Pada masa itu, Barisan Nasional (BN) dan Hajiji berada dalam Kabinet yang sama, sedangkan Warisan berada di blok pembangkang negeri.
“Sebenarnya, ‘Langkah Kinabalu’ adalah perbalahan dalaman antara BN dan Bersatu/GRS untuk berebut kuasa. Warisan tidak berada dalam Kabinet Hajiji dan tidak mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan.
“Justeru, menyalahkan Warisan hanyalah cubaan Norazlinah untuk memutar belit fakta,” katanya. – Info X