Search

PRN17: Warisan mesti menang -Shafie

October 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Warisan tidak akan bergabung dengan mana-mana parti lain bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Perkara itu dijelaskan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ketika ditanya sama ada Warisan sedia membentuk kerajaan dengan kerjasama parti lain.

Beliau menegaskan Warisan yang akan bertanding semua 73 kerusi mahu membentuk kerajaan sendiri dengan keyakinan mendapat kerusi yang mencukupi tanpa kerjasama dengan parti lain.

“Kita bekerjasama dengan rakyat, bukan dengan parti lain. Dahulupun Parti BERJAYA pernah bertanding solo dan menang untuk membentuk kerajaan yang memerintah selama 10 tahun.

“Begitu juga dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) juga berjaya memerintah selama 10 tahun. Di negeri lain, PAS yang juga bertanding secara solo di Kelantan sudah memerintah negeri itu selama 40 tahun.

“Jadi, kita yakin, tiada ragu-ragu sebab kita lihat rakyat Sabah kini bangkit kerana mereka mahukan perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat Warisan di Kolombong, di sini, pada Rabu.

Ahli Parlimen Semporna itu menegaskan Warisan mesti menang banyak kerusi pada pilihan raya nanti dan enggan menjawab soal kerjasama dengan parti lain jika tidak mendapat majoriti mudah.

“Doakan kita (Warisan) dapat majoriti mudah, tapi kita menyasarkan untuk mendapat majoriti dua pertiga pada pilihan raya nanti,” katanya.

Katanya, Warisan sudah merasai situasi memerintah bersama parti lain selama lebih dua tahun ketika mengetuai kerajaan Warisan Plus dari 2018 hingga 2020.

“Dulu kita juga bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan BERSATU, tapi mereka bergantung kepada pemimpin parti di Semenanjung, sedangkan sepatutnya kita kena dengar suara rakyat. Jadi, kita tidak mahu perkara seperti itu daripada berlaku,” katanya.

Beliau juga menyebut gabungan parti yang membentuk kerjasama ketika ini berdepan masalah pengagihan kerusi dan beliau percaya masalah juga timbul apabila mengagihkan jawatan Kabinet selepas menang pilihan raya.

Pada majlis itu, Shafie turut mengumumkan penyertaan Pengerusi Veteran UMNO Sabah dan Labuan, Datuk Sairin Karno bersama beberapa ahlinya ke dalam Warisan.

Turut menyertai parti itu ialah beberapa pemimpin muda PBS dari Ranau. – Info X