NABAWAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal mempunyai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Perumahan Polis Nabawan yang baharu menerusi projek pembinaan bernilai RM150 juta yang dijadual bermula pada Januari 2027.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menyempurnakan pecah tanah projek itu, berkata ia adalah pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh keupayaan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, khususnya di daerah Nabawan dan kawasan sekitarnya.
“Saya mahu projek ini dilaksanakan dengan penuh integriti, mematuhi spesifikasi dan standard yang ditetapkan serta memberikan manfaat maksimum kepada rakyat dan warga PDRM.
“Kita bukan sekadar mahu melihat projek ini disiapkan, tetapi mahu memastikan hasil pembinaannya mampu memberikan manfaat untuk jangka panjang,” katanya pada majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Ibu Pejabat Polis dan Perumahan Polis Daerah Nabawan, di sini, pada Selasa.
Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Ketua Menteri berkata pembinaan IPD Nabawan amat penting memandangkan kedudukan strategik daerah ini yang bersempadan dengan Indonesia, sekali gus menuntut keupayaan keselamatan lebih mantap bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan dan kegiatan haram.

Katanya, ancaman berkenaan memerlukan tindakan penguatkuasaan yang bersepadu, berkesan dan berterusan, termasuk memperkukuh keupayaan PDRM dari segi anggota, infrastruktur, kemudahan operasi serta sistem pentadbiran.
Beliau berkata, Balai Polis Nabawan yang ditubuhkan sejak 1976 kini berada di bawah pentadbiran IPD Keningau, sedangkan daerah Nabawan mempunyai kawasan pentadbiran seluas kira-kira 6,089 kilometer persegi.
“Dengan keluasan kawasan pentadbiran ini, keperluan terhadap struktur kepolisan yang lebih tersusun dan bersesuaian dengan tuntutan keselamatan semasa amat wajar diberikan perhatian.
“Pembangunan IPD Nabawan adalah satu langkah penting ke arah memperkukuh kehadiran dan keupayaan perkhidmatan kepolisan di kawasan ini,” katanya.
Projek itu juga, katanya adalah manifestasi keprihatinan kerajaan yang tidak berbelah bahagi terhadap aspek kebajikan, keselesaan dan keselamatan anggota pasukan barisan hadapan.
“Penyediaan infrastruktur yang kondusif dan dilengkapi kemudahan teknologi terkini bukan lagi satu kemewahan, tetapi satu keperluan yang kritikal, khususnya di kawasan sempadan,” katanya.

Hajiji turut menegaskan keselamatan adalah antara asas penting kepada pembangunan negeri kerana pertumbuhan ekonomi yang mampan tidak mungkin dapat dicapai tanpa persekitaran yang aman, stabil dan selamat.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh infrastruktur keselamatan di seluruh Sabah, termasuk memastikan rakyat di kawasan pedalaman seperti Nabawan mendapat perkhidmatan keselamatan yang lebih baik.
“Dalam konteks Daerah Nabawan, pembangunan Ibu Pejabat Polis Daerah ini mempunyai nilai strategik kerana bukan sahaja memenuhi keperluan PDRM, malah turut berkait rapat dengan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan di kawasan mereka.
“Kita mahu rakyat di Nabawan merasakan bahawa keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan mereka sentiasa diberikan perhatian sewajarnya.
“Pada masa yang sama, kebajikan anggota PDRM juga perlu terus diberikan perhatian. Mereka berada di barisan hadapan dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam,” katanya.
Justeru, katanya penyediaan kemudahan kerja dan perumahan yang baik adalah antara aspek penting dalam menyokong kebajikan serta keberkesanan tugas mereka anggota polis. – Info X