Search

Projek JENDELA 2 bakal beri manfaat kepada penduduk luar bandar

November 3, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Fasa Kedua Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA 2) dijangka memberi manfaat, khususnya kepada penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri ini yang masih berdepan cabaran mendapatkan perkhidmatan internet berkualiti berikutan faktor geografi dan taburan penduduk.

Perkara itu dijelaskan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika taklimat mengenai perkembangan terkini projek itu yang menjadi antara inisiatif penting dalam memperluas infrastruktur dan capaian komunikasi digital di Sabah.

Taklimat itu disampaikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika kunjungan hormatnya di pejabat Ketua Menteri di Menara Kinabalu, dekat sini pada Selasa.

Fahmi sebelum ini berkata, JENDELA 2 merangkumi 3,000 lokasi di seluruh negara, dengan kira-kira 2,000 lokasi di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak menjadi tumpuan.

Hadir sama pada kunjungan hormat itu ialah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri (KPSTI), Datuk James Ratib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohamed Razali Mohd Razi; Setiausaha Tetap KPSTI, Datuk Hassan Mahali dan Pengerusi Sabah Net, Datuk Azman Ruslan. – Info X