KOTA MARUDU: Projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon, di sini terbengkalai sejak 16 tahun lalu menyebabkan pelajarnya terpaksa menumpang di bangunan sekolah lain.
Isu itu mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi negeri, Datuk James Ratib ketika melawat tapak sekolah menengah berkenaan, di sini.
Dalam lawatan itu, beliau dimaklumkan seramai kira-kira 650 pelajar SMK Langkon terpaksa menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Langkon sejak 2010 bagi meneruskan sesi persekolahan mereka.

Lawatan itu turut disertai Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kota Marudu, Halim Bidin; Pengetua SMK Langkon, Johari Bahatong dan serta pegawai dari PPD Kota Marudu.
James berkata, keadaan yang berlarutan lebih satu dekad itu bukan saja memberi kesan kepada aspek kemudahan dan keselesaan pembelajaran, malah menjejaskan usaha mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif dan berkualiti kepada pelajar.
“Adalah amat mendukacitakan apabila sebuah projek sekolah yang begitu penting kepada masyarakat setempat masih belum dapat disiapkan selepas 16 tahun.
“Anak-anak di Langkon berhak menikmati kemudahan pendidikan yang sempurna seperti pelajar lain di negeri ini.
“Seramai 650 pelajar telah menunggu terlalu lama. Mereka tidak seharusnya terus berdepan dengan situasi menumpang untuk mendapatkan pendidikan yang menjadi hak asas setiap anak,” katanya.
Beliau berkata, isu itu memerlukan perhatian dan tindakan segera semua pihak berkaitan memandangkan pendidikan adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan akan membawa isu itu terus kepada perhatian Menteri Pendidikan bagi mendapatkan penyelesaian segera serta tindakan susulan yang sewajarnya demi memastikan projek itu dapat diteruskan dan disiapkan dalam kadar segera.

James turut berharap kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat diperkukuhkan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap projek berkenaan demi kepentingan pelajar, guru dan komuniti setempat.
“Setiap anak Sabah berhak mendapat akses kepada kemudahan pendidikan yang selamat, selesa dan berkualiti. Kita tidak mahu generasi muda terus menanggung kesan kelewatan projek yang sepatutnya telah lama diselesaikan.
“Sudah tiba masanya penyelesaian konkrit dilaksanakan agar warga SMK Langkon dapat menikmati kemudahan sekolah yang sewajarnya selepas 16 tahun penantian,” katanya.
Beliau menegaskan Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah (KPSTI) akan terus memantau perkembangan isu itu dan memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana pihak yang terbabit dalam usaha mempercepatkan penyelesaian projek SMK Langkon. – Info X