KOTA KINABALU: Projek pembinaan enam telaga tiub di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggunakan dana RM3 juta diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu sudah hampir siap.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata semua enam telaga tiub itu sudah siap digerudi dan kontraktor kini sedang menyiapkan tangki takungan serta sistem penapisan air, selain pemasangan paip ke kolej kediaman.
Beliau berkata, projek yang disasar untuk mengatasi kekurangan bekalan air di kampus induk UMS itu dijadual siap sepenuhnya mengikut tarikh yang ditetapkan, iaitu pada 26 Mac ini.
“Alhamdulillah, buat masa ini proses mengerudi telaga tiub sudah siap sepenuhnya dan sekarang ini kontraktor sedang membuat takungan serta penapis dengan pencapaian kerja setakat ini sudah lebih kurang 70 peratus.
“Pada masa yang sama, kita juga sudah melantik kontraktor untuk membuat pemasangan paip ke asrama (kolej kediaman pelajar) dan projek itu juga sedang dilaksanakan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat Pelan Induk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) 2023-2026, di sini, hari ini.
Mustapha diminta mengulas perkembangan projek telaga tiub itu yang dimulakan pada Januari lalu selepas pelajar UMS mengadu berdepan masalah air yang kritikal.
Jelasnya, berdasarkan perkembangan projek itu setakat ini, beliau yakin kemudahan itu dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual agar pelajar yang kembali memulakan sesi akademik selepas cuti semester tidak lagi berdepan masalah air.
“Kita mahu projek itu siap sepenuhnya, maknanya siap hingga air dari telaga tiub terbabit dapat digunakan oleh pelajar di kolej kediaman, bukan setakat siap menggerudi telaga tiub,” katanya.
Selain enam telaga tiub yang dibiayai dengan dana RM3 juta diumumkan Perdana Menteri, dua lagi telaga tiub tambahan dibina menggunakan peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi, selain satu sudah siap atas inistaitif UMS sendiri, menjadikan sembilan telaga tiub apabila siap sepenuhnya. – Info X