KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menempelak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong berhubung dakwaan kewujudan perjanjian air bernilai RM1.5 bilion.
ADUN Apas itu berkata, dakwaan berkenaan adalah fitnah dan berniat jahat, selain bertujuan mengelirukan rakyat memandangkan projek yang dikaitkan dengan perjanjian terbabit tidak wujud.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan Junz mengungkit projek berkenaan menerusi satu kenyataan baru-baru ini umpama ‘menyalak’ sesuatu yang tidak wujud.
“Dakwaan ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong mengenai kewujudan perjanjian air RM1.5 bilion adalah palsu dan dibuat dengan niat jahat untuk mengelirukan rakyat.
“Junz Wong ‘menyalak’ tentang projek yang tidak wujud. Dia hanya menuduh tanpa asas dan kenyataannya adalah fitnah dengan niat jahat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Nizam berkata, projek terbabit baru di peringkat cadangan, tanpa komitmen atau kelulusan daripada kerajaan negeri.
Jelasnya, Surat Niat (LoI) bagi projek itu hanya dikeluarkan untuk kajian dan bukan untuk menganugerahkan sebarang kontrak.
“Hakikatnya, syarikat yang terlibat belum lagi menyelesaikan kajian mereka dan tiada keputusan akhir yang dibuat.
“Surat niat untuk kajian tersebut adalah dibiayai oleh syarikat sendiri dan tidak melibatkan dana awam.
Begitu juga potensi pembiayaan daripada Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), ia hanya satu kemungkinan jika cadangan tersebut diluluskan.
“Setakat ini, lantikkan SCC sebagai pemberi pembiayaan Inisiatif Pembiayaan Persendirian atau Private Finance Initiative (PFI) belum dibuat kerana projek ini perlu diluluskan oleh kerajaan terlebih dahulu,” katanya.
Nizam berkata, tindakan Junz membuat tuduhan palsu hanya sekali lagi merosakkan kredibilitinya sendiri.
“Beliau seharusnya mendedahkan ‘dokumen kukuh’ yang dikatakannya telah diperolehi dan mengesahkan kesahihannya dan bukan membuat sebarang kenyataan dengan niat jahat untuk mengelirukan rakyat.
“Tindakan tegas akan diambil, Junz Wong harus bertanggungjawab atas kenyataannya yang palsu, tidak berasas dan berniat jahat,” katanya.
Sebelum ini, Junz yang juga Naib Presiden Parti Warisan meminta penjelasan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun dan Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya berhubung projek konsesi air yang didakwanya menimbulkan kontroversi. – Info X