SIPITANG: Penggalian semula kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, di sini, mengambil masa lebih sejam sebelum selesai pada kira-kira jam 7.31 malam.
Peguam keluarga arwah, Hamid Ismail, ketika ditemui berkata jenazah Allahyarham Zara akan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu bagi proses bedah siasat yang akan dijalankan pada jam 9 pagi esok.
Katanya, proses penggalian kubur arwah berjalan dengan lancar dan jenazah selamat dikeluarkan sebelum dimasukkan ke kenderaan jenazah untuk dibawa ke Unit Forensik HQE.
Proses penggalian kubur Allahyarham yang bermula pada jam 5.30 petang tadi dilakukan anggota polis forensik dengan disaksikan antaranya oleh ibu bapa Zara dan Majistret Zuraini Ali Musa dari Mahkamah Majistret Sipitang.
Terdahulu, kira-kira 100 ahli keluarga, kenalan dan penduduk setempat hadir menyaksikan proses penggalian semula kubur Allahyarham Zara Qairina yang menunggu sejak tengah hari tadi sehinggalah proses penggalian selesai.
Proses itu dikawal sepasukan anggota polis bagi memastikan penggalian kubur arwah berjalan lancar, manakala pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) turut hadir memantau proses penggalian semula kubur arwah.
Jenazah Allahyarham Zara sebelum ini dikebumikan pada 17 Julai lalu setelah disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar, sehari sebelum itu.
Penggalian semula kubur arwah Zara dilakukan selepas mendapat perintah Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali melalui prosiding secara aplikasi Zoom yang didengar di IPD Papar tengah hari tadi.
Sebelum ini, keluarga arwah meminta kubur arwah digali semula bagi membolehkan proses bedah siasat dijalankan untuk melengkapkan siasatan pihak berkuasa berhubung punca kematian pelajar terbabit. – Info X