Search

PRU Sabah: ADUN Bebas hadapi kekangan peruntukan

November 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Calon bebas yang berjaya memenangi kerusi untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sering berdepan cabaran dalam usaha membangunkan kawasan diwakili berikutan kekangan peruntukan kerajaan.

Penganalisis politik, Tony Paridi Bagang, berkata ketiadaan sokongan struktur parti menyebabkan calon bebas tidak mempunyai akses yang luas kepada peruntukan pembangunan berbanding wakil rakyat parti pemerintah.

Katanya, akses terhadap peruntukan kerajaan sangat terhad dan hal itu membantutkan perancangan pembangunan di kawasan yang mereka wakili jika memenangi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

“Sekiranya menang, seorang ADUN Bebas terpaksa membina hubungan baik dengan kerajaan atau parti pemerintah bagi memastikan kelangsungan pembangunan.

“Malah wakil rakyat bebas terpaksa lebih berhati-hati ketika bersuara secara kritikal terhadap kerajaan kerana bimbang hubungan harmoni itu terjejas, sekali gus menjejaskan pembangunan di kawasan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tony berkata, terdapat juga batasan yang membantutkan kebolehan calon Bebas untuk mengumpul sokongan lebih luas.

“Ia mungkin ada sedikit perbezaan dengan calon ‘Gelombang Hitam’ yang lebih teratur walaupun bukan parti politik.

“Faktor personaliti menjadi penentu utama sokongan. Pengaruh mereka sangat bergantung isu yang dibawa dan ini mengehadkan kemampuan untuk menarik sokongan lebih besar dalam kalangan rakyat,” katanya.

Menurutnya, landskap politik semasa menunjukkan bahawa meskipun calon bebas mampu menawarkan pendekatan baharu, kekangan struktur dan sumber yang terhad terus menjadi cabaran utama dalam membina pengaruh dan pembangunan jangka panjang.

Namun begitu, Tony berkata, calon bebas memiliki kelebihan yang membolehkan mereka menjadi alternatif kepada pengundi yang sudah hilang keyakinan terhadap calon parti kerajaan semasa.

Seramai 74 calon bebas adalah sebahagian daripada 596 calon bertanding pada PRU Sabah Ke-17 yang dijadualkan Sabtu ini. – Info X