KOTA KINABALU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Arfanshah Abdul Gafar atau lebih dikenali sebagai Joe, menyeru pengundi khususnya golongan muda supaya bangkit bersama memenangkan BN pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Dalam ucapannya pada satu pertemuan santai bersama penyokong di Likas malam tadi, beliau menegaskan bahawa kepimpinan sebenar lahir daripada suara rakyat di peringkat akar umbi, bukannya dari atas sahaja.
Katanya, sebagai calon muda yang ditampilkan BN pada pilihan raya kali ini, pengiktirafan itu menjadi tanggungjawab besar untuk membuktikan kemampuan anak muda dalam meneruskan kesinambungan perjuangan parti.
Arfanshah berkata, BN kini memberi peluang lebih luas kepada generasi muda apabila hampir 50 peratus calon ditampilkan dalam kalangan orang muda dan muka baharu.

“Kalau lihat di media sosial pun, ramai muka baru… orang muda. Ini kerana segmen pengundi hari ini majoritinya orang muda.
“Jadi, kalau mahu memperkasakan orang muda, kita perlu kenal kehendak mereka dan beri mereka tempat membuat keputusan,” katanya.
Menurutnya, walaupun baru dua tahun memegang jawatan dalam sayap muda, beliau menerima amanah itu apabila dipanggil untuk bertanding.
“Saya bukanlah sempurna. Pengalaman pun tidak seperti pemimpin lain yang lebih lama. Tetapi bila amanah itu datang, kita tidak boleh lari,” katanya.
Dalam ucapannya yang disambut sorakan penyokong, Arfanshah merayu supaya masyarakat di Darau memberi sokongan penuh kepada BN bagi memastikan kemenangan kerusi itu.
“Saya mohon kepada semua… bantulah. Bukan bantu saya saja, tapi bantu parti. Kita kerja sama-sama. InsyaAllah, pada 29 ini Darau boleh jadi kerusi menang BN,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa lima tahun mandat kerajaan bukan tempoh singkat dan banyak perkara boleh berubah, justeru pengundi perlu membuat keputusan tepat.

“Kalau mahu lihat pembangunan diteruskan, jangan tangguh. Tempat kita masih okey. Kita pernah lawan dulu… dan kita bertahan kerana kita percaya dengan perjuangan ini,” katanya.
Arfanshah turut menegaskan bahawa legasi BN yang membina semangat dan kestabilan politik Sabah perlu diteruskan oleh generasi baharu.
“Kita, orang muda ini, mahu sambung legasi. Kita percaya, kalau Allah izinkan, BN akan kembali memerintah. Tapi itu semua tidak akan jadi kalau kamu tidak bersama kami,” katanya.
Beliau sekali lagi mengulangi seruan agar pengundi memberi kepercayaan kepada BN.
“Kalau boleh, bantulah kami. Berilah kepercayaan kepada BN. InsyaAllah, kita akan buat yang terbaik,” katanya.
Majlis kemudian diakhiri dengan sesi santai bersama penyokong dan petugas parti untuk berkongsi pandangan serta strategi menjelang kempen. – Info X