PUTATAN: Calon GRS Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya menetapkan usaha untuk meningkatkan aktiviti ekonomi belia dan masyarakat sebagai antara aspirasinya bagi kawasan berkenaan.
Katanya, beliau mahu membentuk nilai keusahawanan dalam kalangan masyarakat sebagai satu agenda dalam membangunkan ekonomi komuniti.
“Ini selaras dengan salah satu visi kita iaitu aspirasi meningkatkan aktiviti ekonomi belia dan masyarakat.
“Ia adalah misi peribadi kita dan untuk benar-benar mempergiatkan ekonomi, kita perlu mengubah ‘mindset’ daripada pencari kerja kepada pencipta kerja.
“Inilah ideologi keusahawanan yang akan saya terapkan,” katanya selepas walkabout di Tamu Putatan dan Taman Jumbo, di sini, pada Ahad.
Hadir sama adalah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tanjung Keramat, Ir Ummar Ariff Abu Bakar.
Mengulas mengenai program berkenaan, Shah Alfie yang juga calon nombor tujuh bagi DUN Tanjung Keramat, berkata ia usaha berterusan pihaknya mendekati pengundi dan golongan peniaga di kawasan DUN berkenaan.
“Hasil aktiviti ini, kita mendapati ramai pengusaha menjadikan hari-hari cuti sebagai usaha meningkatkan hasil jualan mereka dan ada juga mengambil kesempatan menjana pendapatan sampingan.
“Saya dan rombongan juga mengambil kesempatan untuk melakukan tinjauan rapat bagi mengetahui isu atau permasalahan yang ada, namun alhamdulillah, semua agak berpuas hati dengan fasiliti yang ada.
“Insyallah kita akan sentiasa menyantuni mereka dan selaras dengan salah satu visi kita iaitu aspirasi meningkatkan aktiviti ekonomi belia dan masyarakat,” katanya. – Info X