KOTA BELUD: Penyandang kerusi DUN Pintasan, Datuk Fairuz Renddan, membuat kejutan apabila tampil mengemukakan pencalonan sebagai calon bebas di kerusi berkenaan pada PRU Sabah Ke-17.
Bekas Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah itu sebelum ini tidak dicalonkan semula oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mempertahankan kerusi itu.
Namanya digantikan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS pada pengumuman calon GRS, Rabu lalu.
Berikutan kejutan itu, Fairuz kini sah menentang Pandikar Amin bagi mempertahankan kerusi berkenaan, kali ini atas lambang buku mewakili dirinya selaku calon Bebas di kerusi berkenaan.

Kerusi yang mula dipertandingkan pada PRN 2020 itu menyaksikan kehadiran ramai calon dengan 11 penjuru, membabitkan seramai empat calon Bebas, termasuk Fairuz.
Tiga lagi calon Bebas di kerusi itu ialah Mohd Rizal Saiman (gajah), Syarif Mohd Shukree Danchingan (pen) dan Tajuddin Padis (kunci).
Sementara itu, calon parti, selain Pandikar Amin yang mewakili GRS, turut bertanding ialah calon Perikatan Nasional (PN), Awang Salleh Makmud; Parti Impian Sabah (PIS), Lomog Rudin; Raplin Samat (STAR), Abdullah Otong (Warisan), Datuk Almudin Kaida (KDM) dan Tadzul Radim (BN).
Dalam perkongsiannya di Facebook, Fairuz yang sebelum ini adalah Ketua Pemuda Gagasan Rakyat menitipkan ucapan terima kasih atas sokongan yang diterimanya untuk bertanding sebagai calon bebas.

“Terima kasih kepada semua yang hadir memberi sokongan, alhamdullilah selesai sudah penamaan calon, kita rehat dahulu hari ini, InnsyaAllah besok kita gerak.Kita Lawan! #N8pintasan,” katannya.
Fairuz diiringi ratusan penyokong berbaju hitam sambil mengibar bendera hitam tertera namaFairuz Renddan ketika hadir ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Masyarakat Tun Said, di sini, hari ini. – Info X