KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diramal memenangi sekurang-kurangnya 33 daripada 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Ramalan yang dibuat sebuah badan penganalisis bebas itu berdasarkan sokongan yang disifatkan sebagai ‘meyakinkan’ terhadap calon GRS di kerusi terbabit selepas hampir dua minggu kempen sebelum hari mengundi, esok.
Selain kerusi yang dikategorikan sebagai kubu kuat pemimpin GRS seperti Sulaman, Karanaan, Klias, Kuala Penyu, Membakut, Pitas, Kawang, Lumadan, Apas, Kemabong, Nabawan dan Kuamut, GRS turut dijangka merampas beberapa kerusi yang sebelum ini dikuasai pihak lawan.
Kerusi terbabit antaranya Pantai Manis, Sungai Manila dan Lamag dijangka tidak dapat dipertahankan Barisan Nasional (BN) berikutan faktor pecah undi, khususnya di Lamag disebabkan kehadiran calon bebas yang menyebabkan undi terpecah di antara BN, GRS dan Warisan.
Situasi itu diramal memberi kelebihan kepada GRS, terutama menerusi sokongan anak muda yang menjadi sasaran utama calon gabungan itu di kerusi DUN Lamag.
Faktor pecah undi turut dijangka berlaku di kerusi DUN Pantai Manis, khususnya di antara calon BN selaku parti penyandang, GRS dan Warisan yang dilihat mampu memberi kelebihan kepada GRS, terutama dengan peningkatan sokongan menjelang hari mengundi.
Selain itu, faktor calon seperti anak Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Hazem Mubarak Musa juga diramal memberi kelebihan kepada GRS di kerusi DUN Sungai Manila.
Faktor itu turut dijangka menyumbang kemenangan kepada seorang lagi anak TYT Tun Musa Aman di kerusi DUN Sindumin yang ditandingi Datuk Yamani Hafez Musa atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Bekas Ahli Parlimen Sipitang itu dilihat memiliki kelebihan berbanding saingan terdekatnya dari Warisan, terutama dengan sokongan GRS yang dizahirkan Ketua Bahagiannya, Datuk Dr Yusof Yacob selaku penyandang kerusi berkenaan.
Kerusi DUN Sindumin adalah antara sembilan kerusi yang dijangka dapat dimenangi PH, manakala yang lain antaranya ialah Merotai, Karamunting, Likas, Luyang, Api-Api Kapayan, Tanjung Aru dan Elopura.
GRS turut dijangka memenangi kerusi DUN Banggi, Tandek, Tempasuk, Pantai Dalit, Tamparuli, Kiulu, Darau, Tanjung Keramat, Limbahau, Kundasang, Paginatan, Bingkor, Liawan, Telupid, Labuk dan Sugut.
Berikutan itu, pakatan GRS-PH dijangka mampu memperoleh sekurang-kurangnya 42 kerusi sekali gus melepasi majoriti mudah 37 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.
Warisan dijangka masih menguasai kebanyakan kerusi di pantai timur, khususnya tiga kerusi DUN di Semporna iaitu Senallang, Sulabayan dan Bugaya, selain di Lahad Datu, khususnya Silam, Tungku dan Segama, manakala kawasan lain antaranya Sekong, Sri Tanjong, Sebatik, Balung, Gum-Gum dan Bongawan.
BN pula diramal memenangi kerusi DUN Bengkoka, Usukan, Sungai Sibuga, Sukau, Tanjung Batu dan Sook, manakala Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dijangka menang di Matunggong, Tanjung Papat dan Melalap.
Calon bebas pula diramal memenangi kerusi DUN Pintasan, Tanjong Kapor dan Petagas. – Info X