Search

PRU Sabah: Jangan jadikan pilihan raya sebagai makmal uji kaji – Yakub

November 23, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Barisan Nasional (BN) mengingatkan pengundi di negeri ini supaya tidak menjadikan Pilihan Raya Umum Sabah (PRU Sabah) Ke-17 sebagai makmal uji kaji.

Pengerusi BN Sepanggar, Datuk Yakub Khan, berkata membuat keputusan melalui pilihan raya tidak boleh dilakukan secara suka-suka atau cuba-cuba.

Katanya, rakyat Sabah sudah merasai bagaimana tindakan ‘cuba-cuba’ hanya merugikan mereka apabila memilih kerajaan yang tidak mampu menandingi pencapaian BN pada 2018.

“Pilihan raya ini jangan dijadikan makmal uji kaji, jangan sekadar suka-suka atau cuba-cuba kerana jika tersilap cuba kita akan terima akibatnya.

“Pada 2018 rakyat Sabah sudah melakukan ‘cuba-cuba’ bagi menggantikan BN dengan harapan terbentuk satu kerajaan yang lebih baik dari BN.

“Tapi apa yang berlaku ia gagal menyaingi BN, malah mencipta sejarah dalam tempoh lima tahun tiga kali tukar kerajaan.

Yakub ketika mengadakan program santai bersama anak muda Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telipok Darat di tapak tamu Pekan Telipok.

“Ini maknanya politik tidak stabil dan akhirnya ekonomi juga menjadi tidak stabil. Pada akhirnya rakyat yang menerima kesan akibat daripada keadaan itu,” katanya.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai itu berkata demikian pada program santai bersama anak muda Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telipok Darat di tapak tamu Pekan Telipok, di sini, malam tadi.

Katanya, tiada mana-mana kerajaan selepas BN dapat menandingi pencapaiannya dalam mentadbir negeri dan negara serta membela nasib rakyat di seluruh negara.

Pada program itu, Yakub yang juga Ketua UMNO Sepanggar turut menjelaskan tawaran dan akujanji BN dalam manifestonya kepada rakyat Sabah jika berjaya membentuk kerajaan selepas 29 November ini.

Katanya, manifesto BN bagi PRU Sabah Ke-17 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu mengandungi 20 tawaran kepada rakyat negeri ini.

Beliau menekankan, rakyat harus memilih BN bagi memastikan tawaran baik yang disenaraikan dalam manifesto itu dapat dilaksanakan dan memberi manfaat kepada mereka.

“Kenapa harus pilih BN, sebab BN menyediakan 20 tawaran yang baik untuk rakyat Sabah dalam manifestonya. Banyak tawaran diberi kepada rakyat Sabah.

Penyokong yang hadir pada program santai bersama anak muda Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telipok Darat di tapak tamu Pekan Telipok.

“Ia termasuk berkaitan penyelesaian isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kita ada dasar untuk mengurus dan menyelesaikan isu MA63 ini, kemudian dalam bidang kesihatan, kita ada inisiatif membantu mereka yang berpenyakit kritikal.

“Manifesto BN juga menggariskan usaha yang berkaitan minyak dan gas, dana atau biasiswa kepada anak Sabah, rumah untuk rakyat, bantuan jaminan masa depan anak Sabah dan lapangan terbang antarabangsa baharu.

“Begitu juga berkaitan isu jalan raya, bekalan air dan tenaga elektrik. Kalau BN diberi kuasa pada 29 November ini kita akan selesaikan masalah ini,” katanya.

Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah itu, berkata peluasan internet dan kemudahan jalur lebar turut ditekankan BN bagi memastikan negeri ini tidak lagi ketinggalan dalam perkembangan teknologi digital.

Katanya, beliau sudah memulakan usaha itu ketika menjadi menteri yang bertanggungjawab dalam pembangunan teknologi digital di Sabah sebelum ini dan menyatakan komitmen untuk menyambung semula usaha itu jika BN kembali berkuasa.

“Ketika pandemik COVID-19 sebelum ini, rakyat pertama kali menggunakan internet secara meluas termasuk untuk pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan dari rumah.

“Pada masa itulah kita sedar tahap liputan internet kita masih rendah kerana ada anak-anak kota yang terpaksa naik bukit dan panjat pokok untuk mendapatkan liputan internet,” katanya. – Info X