Search

PRU Sabah: Litar motor untuk anak muda dibina di Karambunai jika BN menang – Yakub

November 27, 2025

Info X Reporters

SEPANGGAR: Sebuah litar motosikal bakal dibangunkan di Karambunai jika Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, Sabtu ini.

Calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan, berkata perkara itu antara inisiatif yang akan disediakan kepada anak muda di kawasan DUN Karambunai jika BN kembali memerintah.

Katanya, ia selaras iltizamnya untuk membangunkan anak muda di kawasan itu menerusi penyediaan inisiatif yang bersesuaian dengan kehendak golongan berkenaan.

“Saya ingin memaklumkan, saya punya iltizam untuk DUN Karambunai, khusus untuk anak muda. Saya punya iltizam untuk kita membina dan membangunkan anak muda di Karambunai ini.

“Yang pertama, kita akan membuat satu pusat untuk anak-anak muda. Yang kedua, iltizam saya akan membina prasarana sukan, termasuklah studio, padang-padang bola dan sebagainya.

“Yang ketiga, saya tahu di Karambunai ini ramai anak-anak yang berminat dengan motor. Kita beriltizam, kita bina litar motor di Karambunai, jadi pastikan BN menang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Himpunan Anak Muda PDM Telipok Laut, di Kampung Malawa, di sini, pada malam Rabu.

Yakub berkata, beliau juga tidak melupakan kehendak dan keperluan wanita, malah perhatian khusus juga akan diberikan kepada golongan itu di kawasan DUN Karambunai.

“Begitu juga untuk orang wanita, kita tidak lupa bahawa kita akan memberi perhatian kepada komuniti wanita.

“Justeru itu, kita akan membina pusat kegiatan wanita-wanita di Karambunai, bagaimana untuk kita meningkatkan ekonomi wanita, bagaimana kita memberi kemahiran kepada wanita, bagaimana kita memberi kepada belia, sama rata,” katanya.

Beliau turut mengulangi jasa BN dalam membangunkan kawasan Karambunai menerusi pembukaan pelbagai institusi pendidikan dan perindustrian di kawasan itu.

“Apa lagi yang tidak tersedia di Karambunai ini, kak pendidikan, semua ada di Karambunai. Sebut saja, UMS, sapa perjuangkan? UITM, ILP, Politeknik, IKM dan pelbagai institusi pengajian, semuanya ada di Karambunai.

“Pusat ekonomi, KKIP, perjuangan siapa? BN. Ada di mana? Karambunai. Pusat pertahanan, Tentera Laut Diraja Nalausia (TLDM), duduknya di mana? Karambunai. Perjuangan siapa? BN.

“PPNS, pusat pentadbiran kerajaan juga ada di mana, perjuangan siapa? BN. Semua itu adalah hasil perjuangan BN di Karambunai.

“Yang kerajaan selepas BN, tunjukkan apa yang dibanggakan, pencapaian sign board SMJ di sana-sini, itulah kebanggaan (mereka), sedangkanmasalah air, elektrik, jalan raya berlubang misalnya masih berlaku.

“Walaupun kebanyakan pendapatan negeri semakin meningkat, tetapi masalah tidak dapat diselesaikan. Itu satu kerajaan sebelumnya apabila menjadi kerajaan apa yang diperjuangkan? PSS, ingat? Pass sementara itu yang diperjuangkan,” katanya.

Berikutan itu, Yakub memohon rakyat Karambunai supaya memastikan turun mengundi pada Sabtu ini dan mengundi calon BN bagi memberi kemenangan kepada gabungan itu untuk membentuk kerajaan selepas selesai PRU Sabah Ke-17, Sabtu ini. – Info X