KOTA KINABALU: Penubuhan majlis komuniti kampung dan taman perumahan menjadi antara agenda calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Datuk Mohd Razali Razi @ Bob.
Beliau berkata, perkara itu dimasukkan dalam manifestonya untuk Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 bagi DUN Darau.
Majlis itu katanya berfungsi sebagai pusat penyelarasan rasmi untuk mengumpul aduan, membuat verifikasi, menyusun prioriti dan menyediakan laporan pembangunan secara sistematik.
“Kita tidak boleh lagi terima aduan hari ini, esok lupa. Kita mahu kumpul data dan rancang untuk lima tahun. Ini KPI kita, ini report kad kita. Tidak lagi bersifat ad-hoc,” katanya.
Beliau mengulas perancangannya bagi menangani sebarang masalah yang dihadapi penduduk kampung dan taman perumahan di sekitar DUN Darau jika memenangi kerusi itu pada 29 November ini.
Razali berkata satu Sistem Hotline dan Dashboard Aduan Digital yang membolehkan setiap laporan direkodkan dan dipantau secara berpusat juga akan diperkenalkan.
Sistem itu, katanya akan menjadi ‘common center’ moden yang memerlukan hanya beberapa pegawai untuk memantau semua isu secara real-time.
“Hotline ini bukan sekadar nombor. Ia platform digital yang memudahkan semua aduan masuk ke satu dashboard. Dari situ kita pantau dan ambil tindakan. Sistem itu sudah ada, cuma kita perlu laksanakan,” katanya.
Beliau berkata, sesi dialog berkala bersama penduduk turut akan diadakan untuk mengesahkan maklumat, menyemak keutamaan dan memastikan setiap masalah di taman serta kampung di DUN Darau diurus dengan pendekatan lebih profesional.
Sementara itu, katanya pendekatan yang bergantung kepada aduan secara ad-hoc seperti diamalkan selama ini sudah berakhir.
Beliau berkata, Darau memerlukan satu sistem pengurusan komuniti yang moden, terancang dan berstruktur bagi memastikan semua masalah penduduk dapat diselesaikan dengan cepat, tepat dan berkesan.
Katanya, kebanyakan masalah yang dibangkitkan penduduk terutama di taman perumahan berpanjangan, kerana tiada platform rasmi untuk menyampaikan aduan serta tiada badan perantara yang menjadi jambatan antara penduduk dan pemimpin. – Info X