Search

PRU Sabah: Manifesto BN adalah komitmen, hala tuju dan kerja yang sudah teruji – Yakub

November 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 adalah komitmen, hala tuju dan kerja yang sudah teruji dilaksanakan oleh gabungan itu.

Calon kerusi DUN Karambunai, Datuk Yakub Khan, berkata manifesto itu bukan sekadar janji di atas kertas bagi memenuhi keperluan pilihan raya mengenai apa yang ditawarkan BN kepada rakyat Sabah.

“Kita kembali dengan semangat yang lebih kuat, membawa suara rakyat dari kampung hingga ke bandar, dari pesisir hingga ke pedalaman.

“Apa yang kita tawarkan adalah solusi sebenar kepada keperluan rakyat Sabah. Kestabilan, pembangunan menyeluruh, peluang pekerjaan, keselamatan dan masa depan yang lebih terjamin.

“Inilah bingkisan harapan untuk Sabah. Inilah janji yang akan kita tunaikan bersama kerana masa depan Sabah mesti lebih baik daripada hari ini.

“Manifesto ini bukan sekadar janji, ini komitmen jelas untuk membawa Sabah ke arah pembangunan sebenar. Demi rakyat. Demi masa depan Sabah,” katanya.

Beliau mengulas manifesto BN yang dilancarkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, pada Sabtu.

Menerusi manifesto itu, BN membentangkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang memfokuskan pembangunan infrastruktur kritikal, pemerkasaan ekonomi rakyat dan pengembalian hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bertema ‘Sabah Membangun Bersama Kestabilan Teras Kemakmuran’, manifesto itu merangkumi enam teras yang menumpukan isu asas bekalan air, jalan raya, tenaga, perumahan dan jurang pembangunan bandar – luar bandar.

BN juga berikrar menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo dalam tempoh lima tahun, menubuhkan Suruhanjaya Air Sabah dan meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga sehingga 5,000 megawatt.

Selain itu, BN juga menggariskan beberapa tawaran lain, antaranya pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu, pembukaan Pelabuhan Kudat dengan Zon Perdagangan Bebas dan liputan internet ke seluruh Sabah dalam tempoh lima tahun.

Pada masa sama, BN turut menawarkan kemudahan perumahan kepada rakyat menerusi pembinaan 15,000 unit Rumah SabahKu setahun, bantuan baik pulih rumah mangsa bencana dan skim tunai RM100 sebulan untuk B40.

BN juga mencadangkan penubuhan Dana Kemakmuran Negeri Sabah sebagai simpanan strategik generasi masa depan, manakala setiap bayi Sabah lahir mulai 1 Januari 2026 dijanjikan RM1,000 Amanah Saham Anak Sabah (ANAS).

Turut digariskan ialah cadangan mewujudkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sabah yang diterajui seorang menteri wanita dan tempoh maksimum dua penggal pemegang jawatan Ketua Menteri.

BN komited melaksanakan keputusan mahkamah berhubung pemulangan 40 peratus hasil Sabah, menubuhkan Jawatankuasa Khas DUN memantau pelaksanaan MA63, dan menuntut wakil Sabah dalam semua GLC Persekutuan.

Tidak ketinggalan cadangan meningkatkan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak kepada 35 peratus, menstruktur semula GLC negeri, pendigitalan pentadbiran dan penubuhan Unit Integriti Bebas bagi membanteras rasuah.

Dalam manifesto itu, BN juga menawarkan program Rumah Casa Belia tanpa deposit sebanyak 1,000 unit setahun, Rumah Transit Belia di bandar utama, Dana Belia Niaga sehingga RM5,000 untuk ekonomi gig dan digital, Koperasi Usahawan Anak Muda di setiap daerah, pembinaan litar sukan permotoran moden dan Dana Sukan Anak Muda termasuk e-sukan. – Info X