Search

PRU Sabah: Pengundi dicadang keluar mengundi ikut masa digalakkan SPR

November 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan pengundi supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing mengikut masa yang digalakkan kepada mereka.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus, bagaimanapun berkata pengundi boleh keluar mengikut kelapangan masa, tapi dinasihat tidak keluar mengundi pada saat akhir.

“Pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan supaya keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan seperti tercatat dalam aplikasi MySPR Semak.

“Walaubagaimanapun, pengundi
masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi yang diwartakan.

“Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan Kerani Pengundian membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada Hari Mengundi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Justeru itu, katanya pengundi dinasihatkan untuk membuat semakan awal maklumat pengundian bagi mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau menghubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

“SPR juga ingin mengingatkan majikan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRU Sabah Ke-17 pada 29 November 2025 (Sabtu) sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.- Info X