KOTA KINABALU: Walaupun dianggap ‘masih mentah’, kehadiran bakal calon parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, di Tenom, tidak boleh dipandang ringan.
Pemangku Presiden KDM berusia 27 tahun itu antara calon muda yang bakal mewarnai Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU Sabah) nanti, dengan tugasan mempertahankan kerusi yang dimenangi bapa beliau, Datuk Peter Anthony sebelum ini.
Priscella merupakan graduan dari Curtin University Australia dengan ijazah sarjana dalam bidang perakaunan dan beliau mula berjinak-jinak dalam politik pada 2023 apabila dipilih sebagai salah seorang Timbalan Presiden KDM.
Pergerakan politik Priscella mula terserlah selepas pemenjaraan bapa beliau apabila Pimpinan Tertinggi KDM sebulat suara menyokong pemilihannya sebagai pemangku presiden parti itu.

Bukan setakat memangku tugas presiden, Priscella selepas itu juga meneruskan tugas bapa beliau di Melalap khususnya dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan.
Nama Priscella dalam politik mungkin tidak sebesar calon-calon lain yang bakal bertanding di Melalap, namun beliau dijangka menjadi antara pilihan utama untuk memenangi kerusi DUN Melalap.
Tinjauan mendapati, kehadiran beliau di Melalap sentiasa mendapat sambutan memberangsangkan, mungkin kerana aura bapa beliau yang masih ada di kawasan itu
Bagaimanapun, cabarannya bukanlah mudah kerana beliau dijangka akan ditentang calon-calon berpengalaman khsusnya daripada parti-parti ‘gergasi’.
Antara nama yang disebut-sebut bakal bertanding di Melalap termasuk Datuk Jamawi Jaafar yang dikhabarkan dipinjamkan kepada PKR untuk bertanding di situ menggunakan logo Pakatan Harapan.
Jamawi ketika ini merupakan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Selain itu, seorang lagi pemimpin daripada Upko, Junik B Bajit turut mengintai untuk bertanding di Melalap.
Beberapa lagi parti yang dijangka turut bertanding ialah Warisan, STAR serta beberapa parti-parti kecil dan calon bebas (black wave).
Pada PRN16 lalu, Peter mempertahankan kerusi DUN Melalap dengan menewaskan lima pesaing lain termasuk Jamawi.
Peter yang ketika itu bertanding atas tiket Warisan meraih undi sebanyak 5,245 manakala pesaing terdekatnya Jamawi memperolehi undi sebanyak 3,526. – Info X