PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyenaraikan 25 kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Jumlah itu diumumkan Presidennya, Datuk Ewon Benedick menerusi satu kenyataan, di sini, pada Jumaat, hanya beberapa jam menjelang hari penamaan calon pada 15 November.
Ewon yang menyandang kerusi DUN Kadamaian juga akan mempertahankan kerusi berkenaan yang menjadi satu-satunya kerusi milik apa pada penggal DUN lalu.
“Saya akan memimpin calon-calon UPKO ini untuk memperjuangkan manifesto dan agenda ‘Sabah First’ sepertimana dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya juga akan memimpin calon-calon UPKO ini menawarkan kepimpinan berprinsip dengan tanda aras serta petunjuk prestasi kepada setiap mereka agar sentiasa melakukan yang terbaik untuk rakyat Sabah.
“Saya juga akan memimpin calon-calon ini untuk memperjuangkan pelaksanaan hak 40 peratus Sabah kerana dengan pembayaran semula hasil kita itu, kita boleh gunakan untuk membangunkan infastruktur dan ameniti, membangunkan ekonomi dan keusahawanan, membasmi kemiskinan dan mensejahterakan rakyat Sabah dengan lebih berkesan,” katanya.
Selaras dengan usaha itu, Ewon menyeru pengundi untuk bersama agenda #SabahFirst sebagai asas perjuangan parti berkenaan pada pilihan raya kali ini.
“Saya dan semua calon-calon UPKO ini memohon sokongan seluruh rakyat Sabah,” katanya. – Info X