Search

PRU15 MUNGKIN SEPTEMBER ATAU OKTOBER, KATA KETUA PEMUDA UMNO

July 1, 2022

admin


KOTA KINABALU: Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki menjangkakan, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mungkin diadakan pada September atau Oktober depan.

Katanya, PRU15 tidak mungkin diadakan pada Nov atau Dis memandangkan ketika itu musim tengkujuh yang mungkin menyebabkan rakyat sukar keluar jika pilihan raya.

Beliau berkata, PRU15 perlu disegerakan bagi mendapatkan semula mandat rakyat untuk membentuk kerajaan baharu yang stabil agar masalah dihadapi rakyat ketika ini dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“PRU boleh berlaku bila-bila masa. Kalau ada pihak mahu melambatkan PRU, paling lama pun 11 bulan saja lagi kerana sehingga Julai tahun depan kalau belum bubar lagi, ia akan bubar dengan sendiri, jadi, kurang daripada 12 bulan mesti PRU.

“Dalam jangkaan saya PRU boleh berlaku seawal dua bulan saja lagi kerana hari ini kerajaan tidak boleh kekal stabil, negara tidak boleh mengelak inflasi dan harga barang naik.

“Apa yang berlaku di luar negara, itu di luar kawalan kita seperti perang Russia – Ukraine, ia menyebabkan banyak komoditi naik harga seperti kacang soya yang kita import hingga 75 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran jentera pemuda Barisan Nasional (BN) dan Sukarelawan Skuad Sabil Putatan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Asyraf berkata, kenaikan harga ayam di seluruh negara dikaitkan dengan harga dedak yang tinggi berikutan harga importnya naik.

Katanya, jika kadar faedah pinjaman bank dinaikkan sebagai satu cara mengelak orang ramai meminjam untuk mengurangkan beban, ia adalah tindakan yang silap kerana rakyat akan tambah tertekan.

“Sebaliknya rakyat akan tambah menderita kerana kadar bayaran balik pinjaman peribadi, perumahan yang sedia ada akan naik jika faedah dinaikkan.

“Cara sewajarnya untuk kita pulihkan keadaan ialah kita perlukan pelabur masuk ke negara kita, buka kilang tetapi mereka takut masuk sekarang sebab takut kerajaan berubah lagi.

“Bayangkan dalam tiga tahun tiga kerajaan dan tiga perdana menteri, apa jaminan agar tidak berlaku perubahan perdana menteri kali keempat.

“Sebab itu Pemuda Umno berpendirian kita kena serah mandat kepada rakyat, PRU mesti disegerakan tetapi jentera kita kena siap sedia dari sekarang,” katanya.