TENOM: Barisan Nasional (BN) Bahagian Tenom memberi bayangan untuk bertanding di kerusi Parlimen Tenom pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ia berdasarkan kenyataan Pengerusi BN Tenom, Datuk Raime Unggi, yang menyuarakan hasrat gabungan berkenaan untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu nanti.
“BN Tenom bersedia memainkan peranan lebih besar dalam memperjuangkan kepentingan rakyat, termasuk mengambil bahagian dalam pilihan raya umum akan datang.
“BN mempunyai kekuatan jentera, pengalaman dan sokongan akar umbi untuk terus berkhidmat kepada rakyat Tenom.
“BN Tenom bukan sekadar mahu menjadi pemerhati. Kita mempunyai tanggungjawab dan komitmen untuk memastikan kepentingan rakyat terus terbela,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Selasa.

Kerusi Parlimen Tenom kini disandang Ahli Parlimen Bebas, Riduan Rubin selepas menewaskan penyandang sebelum ini dari DAP, Noorita Sual ketika PRU15 pada 2022.
Sebelum itu, kerusi berkenaan adalah kubu kuat BN dengan antara bekas penyandang ialah Raime sendiri yang menyandangnya hingga 2018.
Raime bagaimanapun berkata, sebarang keputusan mengenai penyertaan BN di Tenom pada pilihan raya akan datang tertakluk kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti menerusi rundingan dan persefahaman bersama.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, turut menyarankan agar setiap parti komponen BN menyusun semula dan memperkemas struktur cawangan masing-masing bagi memantapkan organisasi serta memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi sejajar usaha memperkukuh kedudukan BN di Parlimen Tenom.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan BN Tenom mempunyai jentera yang lebih tersusun, berkesan dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan politik.
“Apabila tiba masanya, BN Tenom bersedia menggalas amanah yang diberikan. Kita bukan sekadar mahu bersuara, tetapi mahu bekerja dan membuktikan kemampuan kepada rakyat,” katanya. – Info X