KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengambil inisaitif mewujudkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS), sebuah portal khas bagi memudahkan pelajar negeri ini memohon tajaan pendidikan daripada pelbagai agensi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika melancarkan portal berkenaan di Menara Kinabalu, di sini, hari ini, berkata kemudahan dalam talian itu menggabungkan semua penaja utama pendidikan di negeri ini.
Katanya, portal itu adalah inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasa bantuan kepada anak-anak Sabah terutama yang melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi.
“Portal ini akan menjadi platform rasmi kepada pelajar untuk memohon tajaan pendidikan di negeri ini. Sebelum ini, semua penaja mengendalikan proses tajaan secara berasingan melalui laman web masing-masing.
“Namun, melalui portal baharu ini permohonan akan digabungkan dan diintegrasikan dalam satu laman.
“Justeru, pelancaran portal ini memberi impak yang sangat positif kerana memudahkan pelajar untuk memohon tajaan dan bantuan pendidikan yang bersesuaian dengan kursus atau tempat pengajian,” katanya pada pelancaran berkenaan.
Portal itu menggabungkan permohonan tajaan pendidikan yang ditawarkan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS), Yayasan Sabah (YS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta agensi pemberi bantuan pendidikan negeri iaitu Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

Hajiji berkata, inisiatif berkenaan dapat memastikan bantuan diberikan secara berkesan dan mengatasi pertindihan penajaan dengan memberikan peluang yang adil kepada pelajar serta menambah lagi bilangan pelajar yang mendapat bantuan kewangan.
“Pembangunan portal bersepadu ini adalah pendekatan holistik untuk menyelaraskan semua badan penaja di Sabah dan agensi pemberi bantuan pendidikan,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri amat prihatin terhadap anak-anak Sabah yang tidak mempunyai tajaan dengan mengambil inisiatif mengadakan program jelajah diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri selaku EXCO Pendidikan negeri bersama badan penaja dan pemberi bantuan pendidikan negeri.
“Program itu bertujuan menyantuni dan mengenal pasti pelajar Sabah yang tidak mempunyai tajaan dan mendengar suara mereka mengenai isu dan hal ehwal di universiti. Sejak hingga Jun lalu seramai 2,130 pelajar berjaya dikenal pasti.
“Mereka terdiri daripada pelajar yang mengikuti pengajian di 26 kampus induk dan cawangan universiti awam di seluruh negara,” katanya. – Info X