KUDAT: Seorang wanita berdepan detik cemas selepas seekor buaya air masin sepanjang tiga meter tersangkut pada pukat miliknya ketika sedang menangkap ikan di Kampung Tungkang, Sikuati, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.36 malam itu, mangsa yang sedang menjalankan aktiviti memukat di sungai tidak menyangka reptilia seberat 300 kilogram itu terlilit pada jaringnya, sebelum segera meminta bantuan penduduk kampung untuk menarik buaya itu ke darat.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kudat, Kapten (PA) Abdullah Sabaruddin berkata, wanita terbabit kemudian menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk memaklumkan kejadian.
“Pasukan dari Pejabat Kawasan Operasi Daerah (PKOD) Kudat menerima panggilan dari Pusat Kawalan Operasi Negeri (PKON) Sabah sebelum segera bergerak ke lokasi sejauh 48 kilometer dengan kelengkapan penuh bagi melaksanakan operasi tangkapan.
“Pasukan operasi tiba di lokasi pada jam 11.06 malam dan mendapati buaya berkenaan sudah diikat oleh penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bagi tujuan kawalan dan keselamatan, pasukan operasi menutup mata buaya dengan selimut dan mengikat anggota badannya menggunakan dua tali khas.
“Operasi berjalan lancar dan tamat sepenuhnya jam 1.35 pagi dengan semua anggota selamat.
“Reptilia itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, APM turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di kawasan sungai atau muara bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X