Search

Pukul isteri dengan gitar

June 4, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas bertindak agresif dengan memukul dan mengugut isterinya menggunakan gitar elektrik dan gunting dalam kejadian di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar, di sini, semalam.

Suspek berusia 44 tahun ditahan polis kurang 24 jam selepas laporan polis dibuat oleh mangsa yang juga isterinya berusia 36 tahun.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku pada jam 7.13 malam selepas mangsa mengesyaki suspek mengambil barang terlarang iaitu dadah syabu.

Katanya, suspek kemudian bertindak agresif dan cuba mengancam untuk menikam mangsa menggunakan sebilah gunting beberapa kali selain memukul mangsa di bahagian bahu kanan dengan gitar elektrik.

“Suspek juga dipercayai membocorkan Keempat-empat tayar kenderaan milik mangsa bagi menghalangnya daripada pergi ke balai polis untuk membuat laporan.

“Susulan laporan yang dibuat di Balai Polis Bombalai pada jam 10.25 malam, sepasukan polis bertindak membuat tangkapan pada jam 11.35 malam di hadapan rumahnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, pasukan serbuan turut merampas beberapa barang iaitu gitar elektrik dan gunting yang dipercayai digunakan ketika kejadian di tepi jalan berhampiran rumah mereka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan serta melakukan ugutan jenayah,” katanya. – Info X