KOTA KINABALU: Sebuah kolam takungan air yang dikendalikan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dilaporkan kering akibat cuaca panas di Sabah ketika ini.
Kolam Takungan Air Pulau Sebatik di Tawau itu adalah antara tujuh fasiliti simpanan air mentah yang ada di Sabah bagi menampung keperluan air kepada penduduk di seluruh negeri.
Perkembangan terkini itu berdasarkan satu laporan mengenai keadaan situasi empangan di Sabah yang viral di media sosial sejak semalam.
Berdasarkan laporan itu juga, Empangan Timbangan di Semporna turut dilapor kritikal berikutan mempunyai baki simpanan air yang hanya dapat menampung keperluan selama tiga hari.
Bagaimanapun, Loji Rawatan Air (LRA) LDWS Semporna dilaporkan masih mempunyai sumber air mentah lain untuk diproses iaitu yang dipam dari Sungai Kalumpang.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya negeri, ketika dihubungi mengesahkan mengenai laporan yang viral itu.
“Ya betul. Itu laporan untuk Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri pada mesyuarat 17 haribulan (Mac) lalu,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan laporan viral itu juga, lima lagi empangan yang ada di Sabah dilaporkan mampu membekal air mentah antara sebulan hingga sembilan bulan berdasarkan paras air yang ada ketika ini.
Empangan Sepagaya di Lahad Datu mempunyai baki simpanan air yang mampu bertahan selama 39 hari, diikuti Empangan Telibong, Tamparuli (64 hari), Empangan Babagon, Penampang (86 hari) dan Empangan Betotan, Sandakan (95 hari).
Hanya Empangan Milau di Kudat mempunyai baki simpanan air mentah yang mampu bertahan lebih lama setakat ini iaitu selama 271 hari. – Info X