KOTA KINABALU: Setiap murid mempunyai potensi tersendiri yang perlu terus dipupuk menerusi sokongan keluarga, komitmen guru serta persekitaran yang mampu memberi dorongan dan inspirasi untuk mencapai kejayaan.
Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah, Dr Zainuddin Sabu berkata, pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk generasi masa depan yang berilmu, berdisiplin, berakhlak dan berdaya saing.
Katanya, kejayaan seseorang murid bukan sahaja bergantung kepada pencapaian akademik, malah usaha, kesungguhan serta keberanian dalam mendepani pelbagai cabaran.

“Melangkahlah ke alam persekolahan menengah dengan penuh keyakinan, keberanian dan semangat untuk terus mengejar impian.
“Jangan takut menghadapi cabaran, kerana setiap cabaran adalah ruang untuk belajar, berkembang dan menjadi lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Apresiasi Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kebagu di Hotel Klagan, 1Borneo, di sini, semalam.
Dr Zainuddin berkata, majlis berkenaan bukan sekadar meraikan pencapaian murid, sebaliknya menjadi simbol penghargaan terhadap usaha dan kesungguhan mereka menimba ilmu sepanjang enam tahun di sekolah rendah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan SK Kebagu, guru, ibu bapa serta semua pihak yang komited dalam memastikan murid mendapat pendidikan dan peluang terbaik demi masa depan mereka.
“Anak-anak hari ini adalah pemimpin masa depan. Tanggungjawab kita bersama adalah memastikan mereka terus diberi peluang, sokongan dan inspirasi untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua murid yang diraikan dan berharap mereka terus melakar kecemerlangan apabila melangkah ke alam persekolahan menengah. – Info X