Search

Pusat hiburan diserbu di Penampang

August 4, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Tindakan sebuah premis pusat hiburan yang beroperasi lebih masa di Jalan Penampang Baru, di sini, digempur polis dalam Op Noda, awal pagi tadi.

Serbuan jam 2.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, turut menahan dua lelaki kerana positif dadah jenis Methamphetamine.

Pusat hiburan beroperasi melebihi masa yang ditetapkan diserbu anggota polis dari IPD Penampang. – Foto/IPD Penampang

Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, operasi yang berakhir kira-kira 5 pagi itu juga menahan pengurus pusat hiburan berkenaan kerana beroperasi melebihi masa yang ditetapkan.

“Hasil serbuan itu, memeriksa 18 pengunjung di pusat hiburan berkenaan dan menahan dua lelaki berusia 32 dan 35 tahun kerana positif dadah.

“Semua yang ditahan dan barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, sepanjang Januari hingga Ogos 2023, sebanyak 62 pemeriksaan pusat hiburan dijalankan menerusi Op Noda di daerah ini.

Pengunjung yang sedang berhibur di pusat hiburan berkenaan. – Foto/IPD Penampang

“Daripad jumlah itu, sebanyak 25 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan dan operasi serta menasihatkan pengusaha premis hiburan di daerah ini supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan. – Info X