Search

Pusat hiburan sesak digempur, tujuh positif dadah

October 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Keseronokan 214 individu yang berkumpul dan berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Penampang Baru, di sini, tidak bertahan lama apabila premis itu digempur polis, awal pagi tadi.

Serbuan dijalankan kira-kira jam 3 pagi oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menerusi satu operasi khas yang dilancarkan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di pusat hiburan sekitar kawasan berkenaan.

Ketua JSJN IPK Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, dalam serbuan itu, seramai 122 lelaki dan 92 wanita berusia antara 18 hingga 45 tahun diperiksa.

Alhusin (tengah) memeiksa dokumen pengunjung pusat hiburan dalam operasi khas di Jalan Penampang Baru, Penampang.

“Hasil pemeriksaan air kencing mendapati tujuh individu, terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita, positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine, Ketamin dan Benzo.

“Selain itu, seorang lagi individu ditahan kerana memiliki dadah dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a), Seksyen 12(2) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dalam pemeriksaan lanjut, polis turut menemui beberapa jenis dadah disyaki digunakan pengunjung, termasuk pil ekstasi seberat 0.75 gram, ‘juice’ ekstasi 14.56 gram dan serbuk ketamin 1.45 gram.

Pengunjung pusat hiburan di Jalan Penampang Baru, Penampang yang diperiksa dalam operasi khas oleh JSJN IPK Sabah.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,050.

Serbuan itu dilaksanakan oleh 21 pegawai dan anggota JSJN IPK Sabah, terdiri daripada lima pegawai kanan serta 16 pegawai rendah polis,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, JSJN Sabah akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu bagi memastikan pusat hiburan tidak menjadi lokasi penyalahgunaan dadah yang boleh menggugat ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat. – Info X