Search

Rakyat Sabah tadbir sendiri negeri, tiada orang luar – Ahmad Zahid

July 22, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada orang luar datang mentadbir, apatah lagi menjajah negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hanya rakyat Sabah sendiri yang akan mentadbir negeri ini dan memilih pemimpinnya, termasuk jawatan Ketua Menteri.

Dalam hal itu, katanya BN Sabah diberi autonomi untuk menentukan dan membuat keputusan berkaitan pemimpinnya serta soal mentadbir negeri jika parti itu berkuasa semula.

“Kita sudah beri autonomi kepada UMNO Sabah dan sekarang kita berikan autonomi kepada BN Sabah. Siapa yang akan mentadbir Sabah? Adakah orang Semenanjung? Kita yakin rakyat Sabah boleh mentadbir negeri ini.

“Kita serahkan kepada rakyat Sabah untuk memilih pemimpin, kita serah kepada rakyat Sabah untuk menjadi Ketua Menteri, menteri dan pembantu menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Himpunan dan Konvensyen BN Sabah di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tiong Hua, di sini, semalam.

Ahmad Zahid pada majlis penutupan Himpunan dan Konvensyen BN Sabah di Sandakan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, ketika UMNO datang ke Sabah pada 1990, ia adalah atas kehendak rakyat negeri ini yang mahukan parti itu ke negeri ini.

Jelasnya, BN datang ke negeri ini semata-mata untuk memastikan kestabilan politik dan keamanan di Sabah menerusi perkongsian kuasa dengan parti nasional demi kepentingan rakyat negeri ini.

Beliau memberi contoh ketika menjadi Menteri Pertahanan pada 2013, beliau sendiri terbabit dalam proses menggerakkan pasukan keselamatan bagi mempertahan Sabah daripada pencerobohan pengganas Sulu dalam insiden di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

“Sebagai Menteri Pertahanan, saya tidak sanggup melihat 10 anggota polis dibunuh ketika itu. Saya lihat rakan polis bersungguh-sungguh pertahankan Sabah.

“Apabila keadaan tidak terkawal dan darurat diisytiharkan, masuk tentera untuk operasi. Apa yang kita lakukan ini menunjukkan bahawa kita tidak rela bumi Sabah diceroboh.

“Siapa pertahankan Sabah, yang pertahankan ialah rakyat Sabah, rakyat Sarawak dan rakyat Semenanjung. Apabila kesultanan negara seberang mahu ambil Sabah, menteri UMNO ke mahkamah untuk tolak semua tuntutan.

“Apa yang dilakukan UMNO? UMNOlah yang pertahankan Sabah dan alhamdulillah kita menang ketiga-tiga kes tuntutan itu,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata dua isu utama di Sabah iaitu bekalan air dan elektrik diberi tumpuan jika BN Sabah kembali memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, BN Sabah akan memastikan masalah itu diselesaikan dalam tempoh sepenggal pentadbirannya jika kembali menjadi kerajaan negeri.

Program itu pada mulanya dijadual turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Cyber Event Hall Cyberjaya, Selangor. – Info X