BELURAN: Rakyat Sabah tidak mahu slogan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak kira-kira dua tahun lalu sebagai hala tuju pembangunannya hanya sekadar retorik atau ungkapan yang menjadi kemegahan.
Sebaliknya, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata rakyat negeri ini meletakkan harapan yang tinggi terhadap slogan itu seiring dengan objektifnya untuk melihat perubahan yang lebih mapan dalam aspek kemajuan dan pembangunan negeri ini.
Katanya, perkara asas yang benar-benar diharapkan rakyat Sabah ialah perubahan dari segi pembangunan insfrastruktur seperti sistem jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, dan ekonomi yang kini pada tahap kritikal hingga menjejaskan kehidupan rakyat.
“Sebenarnya rakyat melihat slogan SMJ ini dari prespektif yang lebih luas, bukan sekadar slogan bersifat retorik semata-mata. Apa yang mereka harapkan slogan ini bukan sahaja pada ungkapan tapi pelaksanaanya mesti dirasai rakyat.
“Jadi, tidak timbul isu memperlekah slogan SMJ yang disamakan seperti memperlekah slogan Jata Negeri Sabah atau tidak menghormati atau menyayangi negeri Sabah kerana ia adalah dua isu yang berbeza,” katanya pada program Jelajah Akar Umbi (GERAK 17) UMNO Sabah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut, di sini, semalam.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu berkata Sabah Maju Jaya yang menjadi slogan dalam Jata Negeri Sabah sejak 16 September 1988 tetap dihormati rakyat Sabah sebagai slogan rasmi.
Katanya, apa yang dipertikaikan rakyat ialah SMJ iaitu pelan pembangunan Sabah 2021-2025 yang dirangka oleh kerajaan negeri dalam membawa kemajuan Sabah yang dilihat belum terlaksana walaupun tempoh pelan yang dirancang hanya berbaki setahun lagi.
“Rakyat menulis pelbagai komen sama ada positif atau negatif di media sosial mengenai slongan SMJ bagi menzahirkan penghargaan kepada kerajaan selain ketidakpuasaan hati terhadap gagasan SMJ itu hanya gah disebut, namun gagal direalisasikan.
“Merealisasikan SMJ adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah ketika ini, manakala UMNO terus konsisten dengan slogannya Bersatu, Bersetia, Berkhidmat untuk meneruskan khidmat bakti kepada rakyat di negeri ini,” katanya.
Katanya, menjadi tanggungjawab UMNO Sabah untuk memperbetulkan kelemahan yang berlaku di negeri ini kerana rakyat memerlukan pembelaan sewajarnya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, walaupun sumbangan dan pengorbanan UMNO Sabah ketika pembentukan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada 2020, semangat perjuangannya terus relavan untuk rakyat Sabah. – Info X