KOTA KINABALU: Peguam Datuk Ram Singh sekali lagi membangkitkan isu menghina mahkamah berkaitan kenyataan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Beliau membangkitkan perkara itu pada prosiding pengurusan kes membabitkan kes buli lima kanak-kanak di Mahkamah Kanak-Kanak, di sini, hari ini.
Ram yang mewakili salah seorang tertuduh kanak-kanak, berkata pihaknya memohon kepada mahkamah berhubung penghinaan mahkamah yang didakwa dilakukan Mohd Shafie, berdasarkan video tular sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus yang mendengar permohonan itu meminta supaya menunggu sehingga Jabatan Peguam Negara (AGC) yang turut mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Mohd Shafie selesai dengan tindakan mereka.
“Kita mengemukakan permohonan menghina mahkamah dan ia turut disokong wakil Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
“Bagaimanapun, dalam isu ini, mahkamah menyatakan supaya kita menunggu sehingga AGC selesai. AGC juga mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Mohd Shafie pada Rabu,” katanya.
Beliau ditemui selepas selesai prosiding pengurusan kes lima kanak-kanak yang berdepan pertuduhan buli di Mahkamah Kanak-Kanak, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ram membawa isu video tular di Mahkamah Koroner yang menunjukkan Mohd Shafie bercakap mengenai kes kematian arwah Zara Qairina, antaranya menyebut ia satu kes pembunuhan, selain turut mengungkit mengenai inkues yang sedang dijalankan.
Ram berkata, AGC memberi tempoh seminggu kepada Mohd Shafie untuk menjawab notis tunjuk sebab dan mereka menunggu sehingga tempoh itu selesai.
“Kita tunggu sehingga notis itu selesai dan terpulang kepada kami, tidak kira apa hasilnya nanti, terpulang kepada kami untuk mengemukakan permohonan menghina mahkamah.
“Itu saja apa yang kita boleh cakap mengenai apa yang berlaku di Mahkamah Kanak-Kanak, lebih daripada itu kami tidak boleh cakap,” katanya merujuk kepada ‘gag order’ yang dikeluarkan di Mahkamah Kanak-Kanak.
Pada 20 Ogos lalu, lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-kanak di sini, atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebelum pelajar tingkatan satu itu ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai lalu.
Kesemua remaja berumur bawah 18 tahun itu yang identiti mereka tidak boleh didedahkan mengikut Akta Kanak-kanak 2001, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, pada prosiding tertutup. – Info X