TAWAU: Dua remaja diberkas selepas disyaki mencuri wayar elektrik di kawasan tepi Jalan Taman Home Luck, Jalan Kuhara, di sini, semalam.
Kedua-dua remaja berusia 12 dan 17 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau, kira-kira jam 4 petang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum itu pihaknya mengesan dua remaja terbabit membawa karung guni dalam keadaan mencurigakan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terbabit adalah warga asing dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut, kedua-dua suspek terbabit gagal memberikan keterangan sejumlah wayar elektrik berkenaan dan disyaki barang berkenaan adalah hasil curi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek terbabit ditahan bersama barang rampasan dan di bawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 22A (1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kes masih dalam siasatan dan pihak polis sedang mengenal pasti sumber barang ini diperolehi,” katanya.
Sehubungan itu, Jasmin menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan berkaitan kecurian infrastruktur awam bagi mengelakkan kerugian kepada pemilik premis serta risiko keselamatan di tempat itu.
“Polis akan terus komited membanteras jenayah dan dadah dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara,” katanya. – Info X