KUALA PENYU: Seorang remaja lelaki yang hilang selepas dipercayai dibawa ombak ketika mandi – manda di Pantai Batu Linting, Jalan Mansut, Menumbuk, di sini, masih belum ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah memasuki hari kedua, hari ini.
Sehingga operasi ditangguhkan pada jam 6.30 petang tadi, mangsa berusia 15 tahun masih belum ditemui walaupun pelbagai usaha pencarian dilakukan pasukan penyelamat di daratan, laut dan udara.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Penolong Penguasa Bomba Zulhalim Abidin berkata, operasi SAR hari kedua dimulakan pada jam 9.15 pagi dengan kerjasama beberapa agensi penyelamat.
Katanya, pasukan SAR meneruskan pencarian secara intensif di kawasan pesisir pantai dan perairan sekitar lokasi kejadian menggunakan kaedah Water Surface Search and Rescue (WSSAR).
“Pasukan bomba menjalankan pencarian di sepanjang pesisir pantai sejauh kira-kira lima kilometer, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membantu menerusi pencarian udara menggunakan helikopter bagi memperluaskan kawasan operasi.

“Usaha pencarian dilakukan secara bersepadu membabitkan rondaan permukaan air, pemeriksaan di kawasan berpotensi serta pemantauan berterusan di daratan dan udara,” katanya.
Menurutnya, operasi SAR ditangguhkan pada jam 6.30 petang dan akan disambung semula esok bagi meneruskan usaha mengesan mangsa.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang Jumaat lalu, dua beradik dipercayai lemas ketika mandi-manda di pantai berkenaan.
Seorang mangsa berusia 13 tahun berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga, manakala abangnya yang berusia 15 tahun dipercayai dihanyutkan ombak dan masih belum ditemui.
Difahamkan, kedua-dua remaja itu berasal dari Tuaran dan berada di pantai berkenaan bersama beberapa ahli keluarga ketika kejadian berlaku.
Operasi pencarian kini diteruskan dengan kerjasama JBPM, PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Info X