Search

Remaja hilang ketika mandi-manda di tepi pantai

July 18, 2023

Info X Reporters

KUALA PENYU: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di tepi pantai Kampung Tanjung Aru Menumbok, di sini, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kejadian yang berlaku pada petang 17 Julai lalu itu membabitkan mangsa warga tempatan yang berusia 17 tahun.

“Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) kini memasuki hari kedua pencarian yang dimulakan seawal jam 7 pagi.

“Pasukan bomba menjalankan operasi menggunakan sebuah bot milik JBPM dengan kaedah pencarian yang ditumpukan di bahagian permukaan laut iaitu ‘surface searching’.

“Radius pencarian sehingga dua kilometer (KM) dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini mangsa belum ditemui dan maklumat akan disalurkan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, pihak bomba memperoleh panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.35 malam.

Sepasukan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu digerakkan ke lokasi sejauh 39 kilometer bagi menjalankan operasi SAR. – Info X