TUARAN: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika melalui jambatan gantung Kampung Damat – Kampung Lakang, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa Mohd Hisham Iskandar Azli, 13, dikatakan tergelincir sebelum terjatuh dari jambatan berkenaan ke dalam sungai.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.38 petang.
Katanya, sepasukan anggota termasuk dari Unit Anjing Pengesan (K9) kemudian bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama agensi lain.
“Menurut pemanggil, mangsa bersama lima rakannya berada di atas jambatan gantung dan mangsa tergelincir jatuh ke dalam sungai.
“Mangsa dilaporkan berpakaian baju warna kuning dan berseluar hitam semasa kejadian itu.
“Pasukan bomba berada di lokasi kejadian mendapatkan maklumat lanjut dan seterusnya menjalankan operasi SAR di kawasan pinggir sungai bersama agensi bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung menggunakan bot,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, setakat jam 6.50 petang, mangsa masih gagal ditemui seterusnya operasi ditangguhkan dan akan bersambung pagi esok. – Info X