Search

Remaja lemas ketika mandi bersama rakan di Sungai Tagal

September 7, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang remaja lelaki meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di Sungai Tagal, Kampung Kijang, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa orang awam ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian berkenaan pada jam 10.38 pagi.

Katanya, seramai tujuh anggota BBP Tawau kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 33 kilometer dari balai.

“Pasukan bomba bergerak ke lokasi untuk mendapatkan maklumat lanjut serta menjalankan pemantauan keadaan mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 11.28 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jemishin berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.02 tengah hari selepas keadaan di lokasi kejadian disahkan selamat,” katanya. – Info X