SANDAKAN: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi-manda bersama rakannya di laut dekat Kilang Sinora, Batu Sapi, di sini, petang tadi.
Mangsa yang dikhuatiri lemas dikenali sebagai Mohd Amiruddin Juhardin, 16.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 5.40 petang, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Menurut pemanggil, mangsa melakukan aktiviti mandi-manda di laut bersama beberapa rakannya.
“Sepasukan bomba yang tiba di lokasi kemudian mendapatkan maklumat seterusnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan disepanjang persisiran pantai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, setakat ini mangsa belum ditemui dan operasi SAR masih dijalankan.
“Maklumat terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X