TAWAU: Seorang remaja lelaki manakala lima lagi parah selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Batu 8, Jalan Luasong, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 14 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Kalabakan akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 2.55 petang.
Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku ketika pemandu kereta bersama lima penumpangnya dari Semporna menuju ke Papar.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah lori yang parkir di bahu jalan sebelah kiri.
“Semua mangsa terbabit tersepit di dalam kereta dan berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, anak lelaki pemandu kereta disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Kalabakan.
“Pemandu serta empat penumpang lain parah dan menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Tawau.
“Polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X